Kenderaan Suspek Kes Bunuh Di Stesen Minyak Dijumpai


JOHOR BAHRU - Polis Johor berjaya menemui kereta jenis BMW berwarna putih yang digunakan suspek dalam kes pembunuhan kejam di sebuah stesen minyak di Taman Pelangi pada 17 Disember lalu.

Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Khalil Kader Mohd berkata, kereta itu ditemui di dalam kawasan kelapa sawit di Ayer Baloi, Pontian dekat sini kira-kira jam tiga petang, semalam selepas mendapat maklumat dari orang awam.

Katanya, pemeriksaan pihak forensik menemui beberapa perkara yang mengaitkan kenderaan itu dengan kes pembunuhan berkenaan.

"Kereta berkenaan ditinggalkan di dalam kawasan kelapa sawit dan dijumpai oleh orang awam, bagaimanapun nombor pendaftaran kenderaan telah ditanggalkan," katanya kepada pemberita pada sidang media, hari ini.

Mohd Khalil berkata, pihaknya juga sedang giat mengesan tiga lagi suspek utama bagi menyiasat kes itu lebih terperinci dan setakat ini seramai 15 orang telah ditahan bagi membantu siasatan.

"Kesemua yang ditahan merupakan rakyat tempatan dan empat dari mereka telah dibebaskan manakala 11 lagi masih ditahan termasuk tiga wanita.

"Kita memerlukan siasatan yang lebih serius kerana ia tidak semudah seperti yang dilihat.. kita juga kena cari bagaimana tayar kereta mangsa pancit kerana ia bukan pancit disebabkan paku. Polis perlu bukti kukuh untuk pastikan mereka yang terlibat dapat didakwa," katanya.

Pada 17 Disember lalu, seorang lelaki berusia 44 tahun dilaporkan diserang sekumpulan empat lelaki ketika dia bersama isterinya sedang mengisi angin pada tayar kenderaannya di sebuah stesen minyak dalam kejadian kira-kira jam 7.30 malam.

Mangsa meninggal dunia di tempat kejadian selepas ditikam tepat pada bahagian jantung sebelum digilis kereta jenis BMW yang dipandu suspek.

Sebelum ini, tempoh tahanan reman ke atas dua daripada 15 suspek yang disyaki terlibat dalam kejadian ini turut disambung enam hari lagi.

Majistret, Siti Hajar Ali membenarkan tempoh tahanan reman ke atas suspek yang berusia 19 dan 22 tahun itu bermula esok sehingga 2 Januari depan.

Sumber: Sinar Harian