Kenduri Kampung Belah Sik Saji Umbut Pisang


SIK - Jamuan kenduri kahwin di beberapa daerah di negeri ini tidak lengkap jika tidak disajikan kari daging bersama umbut pisang.

Biarpun CARA penyediaannya agak rumit, tetapi ia tidak menjadi penghalang tuan rumah menyediakannya, terutama secara bergotong-royong sejak dahulu lagi.

Menu tradisi yang popular dipanggil ‘gulai rais pisang’ di Pokok Sena, Padang Terap, Baling dan Sik ini begitu menyelerakan walaupun hanya dimakan bersama nasi putih yang dimasak menggunakan kawah.

Bagi masyarakat di Kampung Padang Chicar, Mukim Jeneri di sini, proses mencari umbut pisang ini bermula dua hari sebelum berlangsungnya kenduri.

Seorang penduduk, Mohamad Saiful Hazanie Marwan, 27, berkata, seawal 9 pagi, mereka beramai-ramai menaiki motosikal ke kawasan hutan berhampiran untuk mencari pokok pisang.

“Lazimnya, kami mencari pokok pisang hutan kerana umbutnya lebih lembut dan sesuai dibuat gulai.

“Pokok pisang yang ditemui akan ditebang dan dibelah batangnya bagi mendapatkan umbut,” katanya ditemui ketika mencari umbut pisang sempena kenduri di rumah ibu saudaranya, Kasmah Abdul Mutalib, 50.

Sumber: MyMetro