Kenyataan Rasmi Istana Selangor Selepas Pasti Mahathir Kembalikan Anugerah


KLANG - Istana Selangor dijangka mengeluarkan kenyataan mengenai penyerahan semula darjah kebesaran negeri itu oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, dalam tempoh terdekat.

“Kami akan mengeluarkan kenyataan sebaik sahaja kami telah memastikan anugerah itu memang telah dikembalikan,” kata Setiausaha Sulit Kanan Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani kepada media.

Beliau ditemui pihak media di upacara permasyhuran sempena Hari Keputeraan ke-72 Sultan Sharafuddin Idris Shah di Istana Alam Shah, di sini, hari ini (11 Disember).

Awal hari ini, Mahathir dilaporkan telah mengembalikan dua anugerah yang diterima pada tahun 1978 dan 2003 Khamis lalu, selepas Sultan Sharafuddin murka dengan pernyataan Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Pribumi) itu terhadap bangsa Bugis.

Anugerah tersebut dilaporkan diserahkan kepada seorang pegawai kanan Sultan Selangor di Istana Bukit Kayangan di Shah Alam.

Dalam ucapannya semasa perhimpunan Pakatan Harapan Oktober lalu, Mahathir,93, telah mengatakan bahawa Malaysia dipimpin oleh perdana menteri yang berasal dari “bajak laut Bugis”. -Kedahnews.com