Keputusan Perlawanan Bukan Keutamaan Kim Swee


KUALA LUMPUR – Keputusan siri perlawanan persahabatan tidak menjadi keutamaan skuad Bawah 23 Tahun (B-23) negara yang kini ‘berkampung’ di Mokpo, Korea Selatan sebagai persediaan akhir dalam menghadapi Kejohanan Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) B-23 2018 di China, Januari depan.

Sebaliknya, ketua jurulatih skuad B-23 Datuk Ong Kim Swee berkata penekanan terhadap inti pati latihan yang merangkumi taktikal permainan serta cara anak buahnya menterjemahkan taktikal tersebut di atas padang adalah apa yang dititikberatkan.

Menurut Kim Swee, sejak mula menjalani latihan pada Ahad lalu kesemua 26 pemain yang dibawa ke Mokpo itu sudah menunjukkan peningkatan prestasi, meskipun anak buahnya itu sekadar mencatat keputusan seri 1-1 ketika berdepan kelab tempatan, Mokpo City di sana, semalam.

“Setelah lima hari berada di Mokpo, para pemain bertambah selesa terutama dari aspek mengadaptasi cuaca sejuk di sini dan hari ini kami menghadapi perlawanan persahabatan pertama. Walaupun seri, tetapi mereka (pemain) menunjukkan sikap yang cukup positif dalam perlawanan yang agak sengit.

“Apa yang penting di sini bukan keputusan tetapi pengalaman bermain dengan pasukan yang mempunyai kualiti tersendiri. Tentang keputusan ia tidak memberikan sebarang impak kepada saya,” katanya ketika dihubungi Bernama menerusi aplikasi WhatsApp semalam.

Pada perlawanan persahabatan tersebut, pemain tengah Johor Darul Ta’zim (JDT) Mohamed Syamer Kutty Abba terlebih dahulu meletakkan skuad negara di hadapan pada minit ke-39 sebelum Kim Sangwook menyamakan kedudukan pada minit ke-70.

Dalam pada itu, Kim Swee berkata senarai akhir 23 pemain yang akan membawa cabaran negara di China hanya akan diumumkan selepas melengkapkan baki dua perlawanan persahabatan berdepan Honam University pada Jumaat ini diikuti Jeonju Citizen pada Khamis depan.

“Masih lagi terlalu awal untuk saya mengenal pasti 23 pemain yang akan dibawa ke China iaitu saya mempunyai dua lagi perlawanan selepas ini.

“Sudah tentu pemain memerlukan masa oleh itu untuk berlaku adil, mereka akan diberi peluang bermain sama rata dan daripada situ saya akan menilai mereka sama ada mereka layak ke China ataupun tidak,” katanya.

Skuad negara yang diundi dalam kumpulan C akan membuka kempen Kejohanan Piala AFC B-23 2018 berdepan Iraq pada 10 Jan diikuti perlawanan menentang Jordan (13 Jan) sebelum menutup aksi kumpulan bertemu Arab Saudi (16 Jan). – BERNAMA