Keputusan Trump Cetus Kemarahan Palestin


BAITULMAQDIS - Keputusan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mengisytiharkan Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel, mencetuskan kemarahan pemimpin Palestin yang beranggapan Washington sudah hilang kelayakan sebagai pengantara rundingan damai.

Bagaimanapun, suasana cuaca sejuk dan hujan bandar suci itu kekal tenang selepas ucapan Trump dengan tiada tunjuk perasaan dilaporkan.

Tunjuk perasaan warga Palestin dijangka dianjurkan di Tebing Barat, hari ini dan ribuan dilaporkan berarak di Semenanjung Gaza, malam semalam dengan membakar bendera Israel dan Amerika Syarikat sambil melaungkan 'Mati Amerika' dan 'Mati Israel'.

Beberapa pemimpin Palestin di Tebing Barat dibelenggu kemarahan selepas ucapan Trump dan memberikan maklum balas negatif dengan mengisytiharkan AS sudah tidak layak menjadi orang tengah rundingan damai di Asia Barat.

"Tindakan terkutuk dan tidak boleh diterima ini menjejaskan semua usaha damai," kata Presiden Palestin, Mahmoud Abbas dalam ucapan selepas pengumuman Trump.


Ketua Setiausaha Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO), Saeb Erakat yang sejak sekian lama berkhidmat sebagai perunding utama Palestin berkata, Trump memusnahkan penyelesaian dua negara.

"Sebagai ketua perunding Palestin, bagaimana saya boleh duduk dengan golongan sebegini yang mengarahkan saya mengenai masa depan Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel?

"Tindakan Trump hanya mengukuhkan kumpulan pelampau di rantau ini, ke tahap yang tidak pernah dilakukan sesiapa pun sebelum ini," katanya. - AFP