JOHOR BAHRU - Kerajaan perlu mengekstradisi rakyatnya, Al Muhd Alfie Kqhyriel yang ditahan di Pakistan kerana menyeludup keluar senjata bagi tujuan mengenalpasti rangkaian dan rancangan sebenar suspek yang berkait dengan aktiviti keganasan.
Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata kerajaan tidak akan membiarkan mana-mana rakyat negara ini yang mempunyai matlamat menimbulkan keganasan, hidup bebas di negara lain.
"Kita tidak boleh membiarkan mana-mana rakyat Malaysia yang membuat kegiatan berbentuk keganasan hidup bebas di negara lain.
"Ini kerana matlamatnya untuk kembali ke Malaysia untuk melakukan keganasan," katanya merasmikan Fiesta Sukan Rakyat Parlimen Pulai di Kompleks Sukan Hospital Permai, Kempas, Johor semalam.
Katanya, kerajaan juga telah mendapatkan maklumat terperinci mengenai penahanan lelaki terbabit menerusi kerjasama dengan Polis Antarabangsa (Interpol).
"Polis bekerja ke arah membanteras aktiviti keganasan dan terbukti rakyat Malaysia itu cuba membawa senjata api ke Malaysia bertujuan untuk melakukan keganasan.
"Bagaimanapun dia rakyat Malaysia dan kita nak dia balik," katanya.
Sebelum ini, Polis Diraja Malaysia (PDRM) memohon Pakistan untuk mengekstradisi rakyat Malaysia yang ditahan di negara itu kerana cuba menyeludup keluar senjata.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, proses itu akan dilaksanakan secepat mungkin supaya siasatan dapat dijalankan.
Menurutnya, PDRM sudah mendapatkan maklumat terperinci mengenai penahanan lelaki terbabit menerusi kerjasama dengan Polis Antarabangsa (Interpol).
Pemuda berusia 20 tahun itu sebelum ini diberkas ketika cuba menyeludup keluar empat pistol, lapan kelopak peluru dan 70 peluru yang disembunyikan di dalam bagasi dan tapak kasutnya.
Portal berita tempatan Pakistan The Express Tribune melaporkan lelaki terbabit menggunakan pesawat Thai Airways TG 342 penerbangan ke Bangkok, Thailand, sebelum ditahan di lapangan terbang ketika pemeriksaan dilakukan pihak berkuasa lapangan terbang pada 22 Disember lalu.
Sumber: Sinar Online