KUALA LUMPUR - Kerajaan diminta mewajibkan ujian saringan bagi mengesan pembawa talasemia ke atas semua pasangan sebelum mereka mendirikan rumah tangga sebagaimana ujian saringan HIV dilaksanakan kepada pasangan yang ingin berkahwin di negara ini.
Cadangan itu dikemukakan wakil pelbagai persatuan talasemia dalam usaha mengawal dan mengurangkan risiko kelahiran bayi dengan penyakit berkenaan.
Saringan itu memberi peluang dan menjadi garis panduan kepada pasangan untuk menentukan sama ada mereka ingin meneruskan perkahwinan atau sebaliknya.
Presiden Persatuan Talasemia Selangor, Abdul Razak Mahmood, berkata ujian saringan talasemia sebelum berkahwin sewajarnya dilakukan sebagaimana ujian saringan HIV.
"Ramai golongan remaja dan dewasa yang tidak menyedari mereka sebenarnya pembawa talasemia kerana mereka tidak sakit dan berkahwin sesama mereka.
"Perkara itu hanya diketahui selepas anak yang dilahirkan disahkan mengalami talasemia," katanya yang ditemui selepas Bicara BH bertajuk 'Pesakit Talasemia, Masihkan Ada Harapan' di Theatrette, Balai Berita, di sini semalam.
Forum anjuran BH dengan kerjasama Persatuan Pediatrik Hematologi dan Onkologi Malaysia (MASPHO) dan Novartis Corporation Malaysia Sdn Bhd.
Bicara BH kali ini mengemukakan empat ahli panel iaitu Pakar Perunding Hematologi, Hospital Ampang, Dr Jameela Sathar; Naib Presiden MASPHO dan Ketua Perkhidmatan Pediatrik, Kementerian Kesihatan Malaysia, Dr Hishamshah Mohd Ibrahim; Presiden Persatuan Talasemia Sabah dan bapa kepada pesakit talasemia, Francis Mujim; dan Ahli Persatuan Talasemia Kedah dan pesakit talasemia, Noorhafiza Noorhamdan.
Sementara itu, Noorhafiza Noorhamdan, berkata saringan sebelum berkahwin sangat penting bagi mengelakkan pembawa berkahwin sesama sendiri bagi mengelak risiko melahirkan anak talasemia.
"Risiko melahirkan anak talasemia adalah sangat tinggi sekiranya ibu bapa adalah pembawa malah membesarkan anak talasemia bukan semudah disangkakan kerana ia menuntut kom Attirmidzieitmen yang tinggi.
"Justeru, sebaiknya saringan dijalankan sebelum berkahwin dan pertimbangan dibuat sama ada untuk meneruskan perkahwinan atau sebaliknya," katanya.
Noorhafiza menegaskan pasangan sewajarnya perlu bersedia dari segi mental sekiranya memilih untuk meneruskan niat berkenaan.
Francis pula berkata, ramai pasangan terkejut selepas anak mereka disahkan mengalami talasemia.
"Keadaan itu menyebabkan ada pasangan saling menyalahkan antara satu sama lain dan ada yang bercerai kerana tidak dapat menerima kenyataan berkenaan.
"Oleh itu, saringan sewajarnya dijalankan sebelum berkahwin oleh pihak berkuasa dan dilakukan dengan tepat kerana ada yang tidak dapat membezakan saringan talasemia dengan pemeriksaan kesihatan biasa," katanya.
Sumber: BH Online