Kerajaan Kedah Minta Lebih Ramai Mohon Bantuan IPT


ALOR SETAR - Setakat ini,   kerajaan Kedah telah membelanjakan sebanyak RM771,400 menerusi bantuan kewangan institusi pengajian tinggi (IPT) bagi membantu pelajar yang berjaya melanjutkan pengajian di universiti serta kolej.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengangkutan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Datuk Tajul Urus Md Zain berkata, bantuan tersebut melibatkan seramai 3,164 pelajar yang berjaya melanjutkan pengajian di peringkat sijil, diploma dan ijazah bagi kemasukan 2016.

Menurutnya, bantuan diberikan menerusi permohonan pelajar dan pihak waris yang dibuat di pejabat-pejabat  Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) selepas pelajar menerima surat tawaran kemasukan ke universiti atau kolej pada September  2016.

"Peruntukan ini tidak terhad dan bergantung kepada permohonan...sebab itu saya nak perluaskan lagi maklumat ini supaya lebih ramai yang memohon bantuan ini bagi 2017 agar dapat meringankan beban pelajar dan waris.

"Saya nak ingatkan, permohonan hanya boleh dibuat di pejabat ADUN BN dan mereka yang berpendapatan bawah RM3,000 ke bawah boleh mendapat bantuan RM300 bagi ijazah, diploma (RM200) dan sijil (RM100)," katanya kepada pemberita pada Majlis Penyerahan Bantuan Kewangan IPT Kedah bagi Parlimen Merbok di sini, semalam.

Seramai 146 pelajar menerima bantuan tersebut membabitkan 68 pelajar bagi peringkat ijazah, 56 (diploma)  dan 22 (sijil) dengan peruntukan berjumlah RM33,800.

Katanya kerajaan negeri menyediakan bantuan itu sebagai tanda sokongan kepada kesungguhan pelajar untuk melanjutkan pengajian mereka ke menara gading.

Tajul Urus berkata bidang pendidikan amat dititikberatkan kerajaan negeri dan persekutuan sejak dahulu sehingga sekarang.

Buktinya, beliau berkata kerajaan membelanjakan peruntukan besar dalam sektor pendidikan berbanding bidang lain.

"Kita sendiri (kerajaan Kedah) menyediakan biasiswa kepada pelajar menerusi Lembaga Biasiswa Negeri Kedah, selain Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) menyediakan pinjaman yang jika mendapat ijazah kelas pertama, pelajar tidak perlu bayar sebab ditukarkan  kepada biasiswa.

"Dengan kemudahan pembiayaan tersebut, tiada alasan lagi bagi ibu bapa  mahupun pelajar untuk tidak melanjutkan pengajian mereka disebabkan alasan menghadapi masalah kewangan," katanya. - Kedahnews.com