KULIM - "Nasib baik saya sempat lari. Kalau tak mesti kena langgar."
Demikian kata peniaga makanan barat Afiq Fadli, 18 yang menyaksikan kejadian sebuah kereta jenis Toyota Avanza terbabas dan melanggar deretan gerai di Jalan Putra, lewat petang semalam.
Menurutnya, sebelum kejadian dia sedang melakukan persiapan untuk berniaga bagaimanapun ternampak sebuah kereta meluncur laju ke arahnya.
"Masa itu dalam jam 5.50 petang saya tengah dok pasang kepala gas, untuk berniaga. Tengah dok pasang nampak ada kereta laju, lurus saja sepatutnya jalan itu belok ke kiri.
"Kira-kira lima meter lagi nak sampai ke arah saya, saya lari selamatkan diri. Dengan sekelip mata kereta tersebut terus melanggar tembok dan gerai ayam goreng bersebelahan gerai saya," katanya.
Katanya, dia juga sempat melihat pemandu di dalam kereta tersebut kerana bimbang mengalami kecederaan atau diserang angin ahmar.
"Bila kereta itu berhenti saya pergi lihat pemandu dan penumpang yang berumur lingkungan lebih 60an. Bukan apa, takut mereka cedera tapi kedua mereka selamat cuma masih terkejut dan cemas," katanya.
Manakala pemilik gerai ayam goreng, Wan Mohd Nasir Wan Wahab,39 berkata kebetulan pula pada hari itu dia terlewat sikit membuka gerainya kerana ada tetamu di rumah.
"Kalau saya mai macam biasa agaknya saya sudah dilanggar kereta ini, memang betul kedai saya dia langgar,"katanya.
Sumber: Sinar Online