Bekas perdana menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad sepatutnya menyalahkan Penasihat DAP, Lim Kit Siang kerana mendesak kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi membongkar kerugian urusniaga forex Bank Negara berjumlah RM31.5 bilion yang berlaku pada tahun 90an.
"Bukankah Kit Siang yang menuntut kebenaran dan Dr Mahathir yang menyatakan beliau hanya mencari kebenaran?" tanya Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak.
Adalah tidak kena pada tempatnya, Dr. Mahathir menuding jari kepada bekas Penolong Gabenor Bank Negara Malaysia Datuk Abdul Murad Khalid yang menyatakan kebenaran semasa memberikan keterangan pada siasatan berhubung kerugian oleh RCI baru-baru ini.
"Murad hanya memberi keterangan dalam pendengaran berhubung kerugian sebenar forex, yang mendedahkan bahawa jumlahnya adalah RM31.5 bilion dan bukannya RM5.7 bilion, kata Salleh pada catatan terkini dalam blog sskeruak.blogspot.my hari ini. .
Dr Mahathir semalam meletakkan kesalahan berikutan kerugian itu ke atas Murad, dengan mendakwa bekas penolong gabenor BNM itu tahu tentang kerugian terbabit, namun memilih untuk berdiam diri dan hanya mendedahkan perkara yang diketahuinya itu baru-baru ini.
Kit Siang dan Mahathir yang kini saling memerlukan antara satu sama lain kerana kepentingan politik bagaimanapun seolah-olah 'bersetuju' dengan kerugian yang dialami oleh BNM.
.
"Tahap kepura-puraan yang ditunjukkan oleh Dr Mahathir dan Kit Siang menunjukkan bahawa mereka meletakkan kepentingan politik lebih tinggi daripada mencari kebenaran, " kata Salleh.
RCI telah mengesyorkan Polis Diraja Malaysia menyiasat kemungkinan berlakunya pecah amanah dan penipuan oleh Dr. Mahathir dalam skandal berkenaan.
Dua hari lepas Dr Mahathir mengemukakan saman pemula di Mahkamah Tinggi bagi mendapatkan perisytiharan bahawa Laporan Suruhanjaya Siasatan Bagi Menyiasat Kerugian Urus Niaga Mata Wang Asing Bank Negara Malaysia sekitar 1990-an adalah tidak sah. - Kedahnews.com