Kerugian Forex RM31.5 Bilion, Kegagalan PPBM 'Hantui' Mahathir Hadapi PRU14


Isu paling besar yang merimaskan Tun Dr. Mahathir Mohamad ialah kegagalan beliau untuk menjadikan  parti yang diasaskannya, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) menjadi kuat dan mendapat sokongan ramai dalam masa yang pendek bagi  mendepani PRU14 yang bakal diumumkan tidak lama lagi.

Kemungkinan PPBM tersingkir dalam PRU14 tidak dapat ditolak kerana kegagalan parti itu untuk mematuhi perlembagaan yang dibuat oleh parti itu sendiri.

Pejabat Pendaftar Pertubuhan (RoS) telah memberi tempoh kepada PPBM untuk menyelesaikannya.

Perkara kedua yang cukup dibimbangi Dr. Mahathir ialah penemuan tentang 'kehilangan'  RM31.5 bilion oleh Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung skandal urus niaga mata wang asing (forex) oleh Bank Negara Malaysia (BNM) semasa era pentadbiran beliau pada awal 1990-an.

Isu lain termasuk pemulangan kembali darjah kebesaran negeri Selangor yang diterimanya hanya perkara sampingan semata-mata untuk 'memeriahkan suasana' bagi  menarik simpati rakyat termasuk keturunan Bugis negara ini yang dihinanya sebagai 'lanun'.

Tuduhan terbaharu yang dilakukan  Dr. Mahathir kononnya kerajaan di bawah pimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak mengalami kerugian sehingga AS$39.6 bilion (RM161.6 bilion) dilihat sebagai usaha terbaharu Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) itu untuk menyelamatkan dirinya daripada dipertanggungjawabkan atas kehilangan wang kerajaan dan wang rakyat RMRM31.5 bilion.

Berdasarkan laporan siasatan itu, ada cubaan untuk menyembunyikan jumlah yang sebenar kerurugian daripada pengetahuan rakyat dan ahli parlimen. 

Dalam hal ini Ketua Pemuda UMNO negeri Kedah, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin melihat tindakan Dr. Mahathir  sebagai  cubaan mengalih perhatian rakyat terhadap isu sebenar iaitu perbuatan menyembunyikan fakta kerugian daripada Kabinet pada waktu itu.

“Kami tegaskan bahawa penurunan rizab kerajaan pada waktu tertentu bukanlah disebabkan kecuaian atau ketidakcekapan sesebuah kerajaan mengurus ekonomi sebaliknya perkara itu menjurus kepada keadaan dan faktor mata wang selain keadaan ekonomi dunia, " kata Shaiful Hazizy dalamsatu kenyataan media hari ini. 

Menurut beliau, Dr. Mahathir selaku bekas Perdana Menteri dan  bekas Menteri Kewangan sepatutnya mengetahui tentang  penyusutan dan pertambahan rizab bergantung kepada lebihan dagangan antarabangsa serta pengaliran masuk modal ke dalam negara. 

Secara dasarnya ia boleh bertambah atau menguncup bersandarkan keluar dan masuknya mata wang dolar Amerika, katanya Shaiful Hazizy yang juga Exco Peuda UMNO Malaysia.

Katanya lagi, tindakan dilakukan Mahathir itu seolah-olah sengaja mahu melempar ‘umpan’ persepsi supaya disahut oleh rakyat.

“Beliau seolah-olah ketandusan idea untuk terus mencipta tohmahan dan fitnah terbaru terhadap kepemimpinan negara. Dalam hal ini, beliau tampak amat yakin mampu mencipta dan mewujudkan polemik baharu bagi meracuni pemikiran rakyat,” katanya.

Sementara itu beliau berkata, pihak berkuasa terutamanya polis perlu memanggil pihak bertanggungjawab dalam skandal forex tersebut untuk segera dibawa ke muka pengadilan.

 Rakyat  perlu tahu akan kebenaran bahawa ada pemimpin sebelum ini yang tidak maksum dan sempurna, kata beliau selanjutnya.

Hakikatnya kehilangan lebih RM31 bilion merupakan kerugian yang amat besar kepada negara sedangkan jumlah wang sebesar itu  juga menyebabkan pembangunan untuk rakyat tidak dapat dilaksanakan pada masa itu.

Sebenarnya RM31 bilion itu boleh diperuntukkan kepada negeri-negeri seluruh negara untuk faedah rakyat - Kedahnews.com.