Kes Jong Nam Uji Kerajaan Selesai Krisis Secara Damai


KUALA LUMPUR – Tahun 2017 menyaksikan Malaysia menjadi tumpuan dunia apabila dikejutkan dengan kes pembunuhan berprofil tinggi melibatkan abang kepada pemimpin utama Korea Utara Kim Jong-un iaitu Kim Jong-nam pada Februari.

Kes pembunuhan itu menyebabkan berlaku sedikit ketegangan antara Malaysia dan Korea Utara bertitik tolak daripada pembunuhan Jong-nam yang pada awalnya dikenali sebagai Kim Chol, di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2), ketika menunggu penerbangannya ke Macau pada 13 Feb.

Lelaki itu, yang dipercayai tiba di Malaysia pada 6 Feb, kemudian dikenal pasti sebagai Kim Jong-nam. Dia mati ketika dalam perjalanan ke Hospital Putrajaya setelah terkena semburan agen saraf VX, ketika berada di KLIA2.

Susulan itu, dua wanita asing – Siti Aisyah, 25, warganegara Indonesia dan Doan Thi Huong, 29, warganegara Vietnam ditahan dan didakwa atas tuduhan membunuh Jong-nam di Mahkamah Majistret Sepang pada 1 Mac.

Hasil penahanan dua suspek terbabit Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar ketika itu memaklumkan polis telah mendapat Notis Merah Interpol bagi penangkapan empat warga Korea Utara berhubung pembunuhan Jong-nam.

Keempat-empat lelaki yang dikehendaki ialah Ji-hyon, 33, Hong Song-hac, 34, O Jong-gil, 55, dan Ri Jae-nam, 57, dipercayai berada di klia2 semasa kejadian dan telah meninggalkan Malaysia.

Keadaan menjadi tegang apabila Duta Korea Utara ke Malaysia Kang Chol membuat pelbagai tuduhan tidak berasas terhadap usaha Malaysia mengendalikan kes itu, bertentangan dengan pendirian Kuala Lumpur yang menegaskan bahawa kes itu dikendalikan secara profesional dan mengikuti standard antarabangsa.

Berikutan itu, kerajaan Malaysia mengisytihar Kang Chol sebagai persona non grata atau orang yang tidak diterima negara ini, yang memaksa beliau meninggalkan Malaysia pada 6 Mac.

Korea Utara turut bertindak serupa mengisytiharkan Duta Malaysia di Korea Utara Mohamad Nizan Mohamad, yang ketika itu memang sudah dipanggil pulang ke Malaysia lebih awal untuk perundingan, berada Malaysia, sebagai persona non grata.

Pada 7 Mac, Pyongyang menghalang 11 rakyat Malaysia daripada meninggalkan negara itu, yang menyebabkan kerajaan mengambil tindakan serupa terhadap rakyat Korea Utara di Malaysia.

Namun, dua rakyat Malaysia yang bertugas dengan Program Makanan Sedunia (WFP) di bawah Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) dan mengikuti kursus WFP di Pyongyang, dibenarkan meninggalkan negara itu pada 9 Mac dengan menuju ke Beijing, China.

Pada 30 Mac, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan bahawa sembilan rakyat Malaysia yang masih berada di Korea Utara dibenarkan meninggalkan negara itu.

Sebelum itu pihak berkuasa hanya memaklumkan perundingan Kuala Lumpur-Pyongyang sedang berlangsung untuk menyelesaikan isu berkenaan.

Pada hari yang sama, 30 Mac, sebuah van yang dipercayai membawa mayat Jong-nam, keluar dari Institut Perubatan Forensik Negara (IPFN) pada 1.40 tengah hari dan mayat dipercayai dibawa dengan pesawat darii KLIA ke Beijing pada 7.30 malam.

Pada 31 Mac, sembilan rakyat Malaysia yang dibenarkan meninggalkan Korea Utara berlepas dari Pyongyang pada 7.45 malam waktu Malaysia dan tiba di Kuala Lumpur pukul 5 pagi.

Kes pembunuhan Jong-nam memperlihatkan kebijaksanaan pemimpin negara dalam membuat rundingan secara diplomasi dengan sebuah negara komunis untuk menamatkan secara baik ketegangan hubungan kedua-ketua negara.

Kes itu turut mencatat sejarah apabila menyaksikan pihak media tempatan dan antarabangsa berkampung hampir 24 jam selama 46 hari di IPFN yang menjadi tempat menyimpan mayat Jong-nam selain bertugas di hadapan kedutaan Korea Utara di Jalan Batai Damansara Heights di sini.

Paling ramai wartawan asing adalah daripada beberapa agensi media Korea Selatan dan Jepun selain agensi media barat. – Bernama