Kes Kedah satu hal, FELDA pula hal lain...


ALOR SETAR - Akibat disifatkan sebagai bersikap pilih kasih dalam menangani isu mendapatkan lesen kelab, Perkongsian Liabiliti Terhad Bolasepak Malaysia (FMLLP) menjelaskan kelulusan lesen untuk pasukan Kedah dan kes penyingkiran FELDA United ke Liga Perdana adalah dua isu berbeza.

Malah kes kedua-dua pasukan itu tidak boleh dibuat perbandingan, itu apa yang ditegaskan mereka.

FMLLP menambah, tindakan yang diambil itu adalah mengikut peraturan ditetapkan Persekutuan Bolasepak Asia (AFC), selepas tidak menerima dokumen baharu yang boleh dipertimbangkan untuk mendapat kelulusan lesen.

“Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) berjaya menyerahkan penyata akaun mereka yang telah diaudit sebelum Lembaga Rayuan (AB) Pelesenan Kelab bersidang.

“Walaupun mereka tidak dapat dipertimbangkan untuk Lesen AFC, Lembaga Rayuan cuma ada kelonggaran untuk mempertimbangkan dokumen lewat untuk lesen FAM sahaja, dan itulah sebabnya Kedah diberi lesen FAM, tetapi tidak boleh diberi lesen AFC.

“Dalam kes FELDA United, mereka tidak mengemukakan dokumen sebelum waktu yang ditetapkan oleh Lembaga Rayuan dan oleh itu, ia tidak dapat dipertimbangkan untuk lesen AFC atau pun FAM,” menurut kenyataan yang dikeluarkan FMLLP menerusi laman sosial Facebook Football Malaysia LLP, semalam.


Semalam, FMLLP mendedahkan, pihaknya sama sekali tidak menganiayai FELDA United, Akan tetapi The Fighters tersingkir dari Liga Perdana susulan mereka sendiri gagal meraih lesen beraksi di Liga Super musim hadapan.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Kevin Ramalingam, berkata tindakan tidak membenarkan pasukan yang tiada lesen untuk beraksi dalam Liga Super sudah diputuskan lebih awal sebelum ini.

Dalam masa sama, FMLLP juga menegaskan First Instance Body dan Lembaga Rayuan adalah dua badan bebas.

“Ahli-ahli badan ini terdiri daripada juruaudit, ahli perakaunan dan berlatar belakang perundangan. FMLLP tidak mempunyai pengaruh atau kuasa terhadap badan ini.

“Jadi, sebelum anda mempertikaikan kredibiliti FMLLP berkaitan dengan pengeluaran lesen, sila ingat fakta itu. Tidak ada campur tangan.

“Kes Kedah telah dipertimbangkan dengan sewajarnya kerana ada ruang untuk mempertimbangkan penyerahan akhir bagi lesen tempatan, namun tidak ada ruang untuk mempertimbangkan penyerahan akhir untuk Lesen AFC,” katanya. - Kedahnews.com