Kes Tembakan Di Pokok Sena: Polis Tahan Remaja Lelaki Dan Bapa


ALOR SETAR – Polis menahan seorang remaja lelaki berusia 15 tahun dan bapanya bagi membantu siasatan kes seorang kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun maut terkena tembakan dalam kejadian di Kampung Empa, Mukim Derang, Pokok Sena pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Kota Setar ACP Mohd Rozi Jidin berkata, penahanan dibuat kerana pihaknya percaya kanak-kanak terbabit terkena tembakan hasil dari senapang patah yang dibawa.

Selain itu, pihaknya turut merampas selaras senapang patah daripada mereka.

“Berdasarkan temu bual dengan saksi, kami percaya kanak-kanak perempuan itu terkena tembakan senapang patah yang dibawa oleh remaja lelaki tersebut.

“Difahamkan senapang itu adalah milik moyang remaja lelaki berkenaan yang dibawa balik oleh bapanya yang berusia 50 tahun bagi tujuan menembak tupai,” katanya dalam kenyataan di sini semalam.

Sementara itu, keluarga mangsa bagaimanapun mempunyai lesen yang sah untuk memiliki senapang terbabit dan kes disiasat menurut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Dalam kejadian 11 pagi tadi, Puteri Intan Sharini Mohd Hishamuddin yang sedang menonton televisyen di rumah datuknya maut di tempat kejadian selepas mengalami kecederaan parah di bahagian kiri mukanya akibat terkena tembakan senapang patah.  - Kedahnews.com