Kes Terpotong Kepala Zakar: Doktor Tak Mengaku Salah


KUALA LUMPUR  - Seorang doktor yang sebelum ini dilaporkan terpotong bahagian kepala zakar kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun ketika melakukan proses berkhatan dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kajang dekat sini hari ini atas tiga pertuduhan termasuk mendatangkan kecederaan parah terhadap mangsa di sebuah klinik, tahun lalu.

Azahari Hashim, 52, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan dibacakan  kepadanya di hadapan Majistret Nor Afidah Idris.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa secara cuai mendatangkan kecederaan parah terhadap kanak-kanak lelaki itu yang kini berusia 11 tahun.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 338 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya.

Bagi pertuduhan kedua pula, dia didakwa menjalankan klinik perubatan swasta tidak berdaftar dan dituduh mengikut Seksyen 4 Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 5 akta sama yang membawa hukuman denda maksimum RM300,000 atau penjara sehingga enam tahun atau kedua-duanya.

Menurut pertuduhan ketiga, Azahari didakwa tidak mempunyai Sijil Amal Perubatan yang sah dan didakwa mengikut Seksyen 33 Akta Perubatan 1971 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 35 akta sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM2,000 jika sabit kesalahan.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Klinik Keluarga, No. 6, Jalan CU 15/B, Taman Cheras Utama, Hulu Langat, dekat sini kira-kira pukul 8.15 malam, 20 Disember 2016.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM9,000 dengan seorang penjamin bagi kesemua pertuduhan dan menetapkan 26 Januari depan untuk serahan dokumen.

Akhbar sebelum ini melaporkan seorang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun mungkin terpaksa menanggung kecacatan pada zakar sepanjang hidup selepas bahagian kepala kemaluannya terpotong ketika berkhatan menggunakan kaedah laser

Sumber - Utusan