SEREMBAN - Terpedaya dengan harga murah telefon pintar, menjadi antara aduan tertinggi diterima Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) negeri sepanjang tahun ini.
Ketua Penguatkuasanya, Azizan Abdullah, berkata pengguna tertarik dengan harga murah yang ditawarkan menerusi atas talian, sebelum meneruskan pembelian dengan menghubungi penjual.
Katanya, masalah bermula sebaik pembeli memasukkan duit ke akaun penjual kerana barangan tidak tiba, atau tidak sama dengan yang dipaparkan.
"Sejak Januari hingga Rabu lalu, sebanyak 134 aduan atas talian diterima termasuk aduan pakaian kanak-kanak dan alat kosmetik, manakala 11 daripadanya dapat diselesaikan," katanya di sini.
Azizan berkata, isu kepenggunaan melalui transaksi perniagaan secara elektronik boleh dikenakan tindakan mengikut Peraturan-Peraturan Perlindungan Pengguna (Urusniaga Perdagangan Elektronik) 2012.
Katanya, peraturan yang dikuatkuasakan pada 2013 itu bertujuan memberi perlindungan kepada pengguna.
"Saya berharap pengguna menyimpan maklumat urus niaga supaya tindakan mudah diambil jika berlaku sebarang penipuan," katanya.
Selain itu katanya, pengendali laman perniagaan atas talian juga perlu menyimpan dan menyelenggara maklumat peniaga mereka dalam tempoh dua tahun.
Maklumat yang penting termasuk nama peniaga, nombor pendaftaran perniagaan, nombor telefon, keterangan barang atau perkhidmatan, harga, kaedah pembayaran, terma dan syarat serta anggaran masa barangan sampai kepada pembeli.
"Perkara ini penting untuk pihak kami menjalankan siasatan jika berlaku sebarang kes, manakala peniaga atas talian yang menjual barangan mereka seperti di web site, blog, media sosial atau laman perniagaan atas talian perlu turut sama perlu mendedahkan butiran berikut untuk mengelakkan penipuan," katanya.
Sumber: BH Online