KFA Belum Beri Kata Putus Tempoh Kontrak Marcote


ALOR SETAR - Presiden, Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA), Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah telah mengeluarkan kenyataan bahawa KFA akan mengadakan perbincangan dengan Ramon Marcote mengenai terma kontrak perlantikannya selaku jurulatih baharu Kedah.

Menurut sumber, tempoh kontrak sebagai jurulatih Helang Merah belum diputuskan KFA sama ada setahun atau lebih mengikut pada prestasi yang dipamerkan pasukan.

"Saya akan berjumpa dengannya sebelum KFA menandatangani perjanjian dan kontrak dengan jurulatih baharu berkenaan dalam masa terdekat.

"Bagaimanapun, terpulang kepada pengurusan KFA untuk mengikat kontrak sama ada satu atau dua tahun dengan Marcote," katanya ketika ditemui pemberita selepas menyertai Pertandingan Golf Piala Ahmad Zahid Hamidi (AZH) di Seri Kembangan semalam.

Sebelum ini media melaporkan Marcote adalah antara calon pilihan untuk membimbing skuad Helang Merah selepas KFA, membuat keputusan untuk tidak meneruskan hasrat mereka membawa masuk bekas pengendali kelab Johor Darul Ta'zim (JDT), Mario Gomez.

Terdahulu, KFA ada mengadakan perbincangan berhubung tawaran kontrak yang sudah dipersetujui oleh Gomez, namun pihak pengurusan skuad juara Piala FA itu akhirnya mengubah keputusan.

Jurulatih berasal dari Sepanyo itu, pernah menyertai Kedah sebagai jurulatih kecergasan pada Januari 2015 dan pernah memangku tugas sebagai jurulatih ketika Tan Cheng Hoe mengikuti kursus kejurulatihan lesen A di China.

Pada ketika itu, Marcote berjaya membimbing Kedah ke saingan final Piala Malaysia 2015, namun tewas 2-0 kepada Selangor.

Mengulas lanjut hal lain, Ahmad Bashah yang merupakan Menteri Besar Kedah menegaskan KFA menyerahkan kepada polis dan Suruhanjaya Pencergahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menyiasat dakwaan rasuah dan menjual perlawanan membabitkan pemain dan jurulatih Kedah seperti didakwa sesetengah pihak sebelum ini. -Kedahnews.com