KFA Tunggu Ketibaan Marcote Untuk Muktamad Kontrak


ALOR SETAR - Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) tidak berdepan sebarang masalah untuk memenuhi permintaan jurulatih dari Sepanyol, Ramon Marcote termasuk dalam soal gaji bagi mengemudi skuad Lang Merah dalam kempen Liga Malaysia musim depan.

Setiausaha Kehormatnya, Datuk Aminuddin Omar berkata, KFA kini hanya menunggu ketibaan Marcote yang dijangka pada minggu depan bagi memuktamadkan persetujuan yang telah dicapai antara kedua-dua pihak.

“Minggu depan (isu jurulatih Kedah) boleh selesai… KFA hanya tunggu nak beri tawaran (rasmi) kepada Marcote. Pada masa ini, ada beberapa perkara tak selesai lagi tapi soal gaji dah dipersetujui kedua-dua pihak.

“Selain soal gaji, ada beberapa perkara yang diminta oleh beliau tetapi dipersetujui kedua-dua pihak secara dasarnya. Di pihak KFA, kita berpendapat usaha mendapatkan Marcote telah 99 peratus selesai,” katanya ketika dihubungi UTUSAN Malaysia di sini hari ini.

Dalam perkembangan lain, Aminuddin memberitahu, pihaknya telah menawarkan kontrak baharu kepada pemain tempatan Lang Merah manakala nasib dua pemain importnya iaitu Ken Ilso Larsen dan Zachary Michael Anderson akan ditentukan jurulatih baharu Kedah.

Sumber: Utusan Online