Khairat Kematian: Suraya Tampil Perjelas Kekeliruan Muslimat PAS Kedah


PENDANG - Kerajaan Negeri Kedah tidak berhutang bayaran khairat kematian dan setiap waris si mati di negeri ini berhak untuk membuat tuntutan sekiranya berlaku kematian keluarga sebagaimana yang dijanjikan.

Exco Kerajaan Negeri, Datuk Suraya Yaacob menegaskan, Kerajaan Negeri telah membayar wang khairat kematian kepada waris si mati yang membuat tuntutan, namun tidak dapat berbuat apa-apa sekiranya tiada tuntutan dibuat oleh waris si mati.

"Sejak dari mula kita laksanakan polisi ini dulu, sudah banyak kali kita war-warkan tentang bayaran khairat kematian sebanyak RM250 kepada waris si mati yang membuat tuntutan jika berlaku kematian.

"Ada yang datang menuntut bayaran khairat kematian itu. Tapi ada juga yang tidak datang menuntutnya dan sebab itulah jumlah bayaran khairat kematian itu tidak selari dengan jumlah kematian.

"Kita bayar hanya kepada yang menuntut bayaran itu. Yang tidak membuat tuntutan, maka tidak menerima bayaranlah. Macam Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), siapa yang tuntut dan layak, maka insyaAllah dapatlah," katanya kepada Kedahnews.com secara eksklusif, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Suraya berkata, statistik sebenar kematian di negeri ini sejak 2014 sehingga November 2017 adalah berjumlah 53,168 kes kematian.

Namun begitu jelas beliau, hanya sebanyak 6,246 kes sahaja yang dibuat tuntutan oleh waris si mati berbanding rekod sebenar jumlah kes kematian di negeri ini.

"Skim ini diumum pada Bajet Kedah 2014 dan dilaksana bermula Januari 2015. Pada 2015 kita menerima sebanyak 2,672 tuntutan, 2016 sebanyak 2,239 tuntutan dan tahun ini sebanyak 1,515 tuntutan khairat kematian.

"Berbanding statistik jumlah kematian yang berjumlah 12,658 kes pada 2014, 13,651 kes pada 2015, 13,729 kes pada 2016 dan 13,130 kes yang direkod pada 2017, jumlah keseluruhannya adalah sebanyak 53,168 kes kematian di negeri ini.

"Tapi daripada jumlah tersebut, hanya sebanyak 6,246 kes sahaja yang dibuat tuntutan oleh waris si mati," jelas beliau mengenai fakta sebenar yang menjadi kekeliruan Adun Merbau Pulas, Dato' Siti Aishah Ghani itu.


Justeru itu Suraya berkata, tidak hairanlah jika jumlah pembayaran khairat kematian tidak selari dengan jumlah pembayaran ekoran dari ramai waris yang tidak membuat tuntutan bayaran daripada Kerajaan Negeri.

"Maka sebab itulah kita selalu mengingatkan pemimpin tempatan, termasuk Adun pembangkang supaya mewar-warkan kebajikan yang kita tawarkan. Janganlah asyik berpolitik saja.

"Jadi kita tidak berhutang RM9 juta sebagaimana yang dikata Datuk Siti Ashah sangka. Mungkin beliau salah faham dalam hal ini atau sengaja cari isu untuk mempolitikkan keadaan," katanya.

Selain itu, Adun Sungai Tiang itu turut menjelaskan mengenai inisiatif beberapa Ahli Parlimen yang menggunakan peruntukan di kawasan masing-masing untuk memberi sumbangan khairat kematian kepada waris si mati.

Ekoran itu jelas beliau, waris si mati yang menerima sumbangan dari Ahli Parlimen berkenaan tidak lagi membuat tuntutan daripada Adun atau penyelaras kawasan di bawah Kerajaan Negeri.

"Sebagai contoh, Ahli Parlimen Baling menggunakan peruntukan parlimennya sendiri untuk memberi sumbangan khairat kematian di parlimen tersebut sebanyak RM300. Jadi, waris tidak membuat tuntutan dari Kerajaan Negeri.

Sementara itu, Suraya turut menjelaskan bahawa Kerajaan Negeri terpaksa memansuhkan skim khairat kematian di bawah program E-Sinar yang diperkenalkan Kerajaan Pakatan Rakyat yang dipimpin PAS sebelum ini.

Jelas beliau, program itu didapati tidak holistik di mana peruntukan yang diberi hanya melibatkan golongan miskin tegar sahaja dan lebih bermotifkan politik.

"Tidak wajarlah jika Ustazah (Aishah) mahu bandingkan dengan khairat kematian di bawah PAS dulu. Bantuan RM500 dulu hanya terhad kepada mereka yang berdaftar di bawa program E-Sinar sahaja.

"Program E-Sinar yang sudah dimansuhkan itu hanya melibatkan golongan miskin tegar yang sangat terhad bilangannya. Ia tidak menyeluruh kepada keseluruhan rakyat yang memerlukan dan berbaur politik.

"Manakala program khairat kematian yang kita tawarkan ini lebih menyeluruh dengan melibatkan semua golongan rakyat secara keseluruhan dan diagihkan secara saksama.

"Ia cuma bergantung kepada waris si mati yang mahu membuat tuntutan atau tidak," jelas beliau lagi.

Ketua Dewan Muslimat PAS Kedah itu semalam mendakwa Kerajaan Negeri Kedah kononnya berhutang hampir RM9 juta kepada seramai 32,811 waris si mati melalui khairat kematian sejak tahun 2014 hingga kini.

"Polisi ini dibuat kerajaan Kedah sekarang di mana setiap kematian di Kedah akan dibayar khairat sebanyak RM250 tanpa mengira latar belakang.

"Daripada jumlah kematian di Kedah semenjak 2014 hingga Julai lepas iaitu 40,208 kes kematian hanya sebanyak 7,397 kes yang dibayar khairat kematian," katanya semalam di laman lidah rasmi PAS, Harakahdaily.

Difahamkan bahawa sejak diumumkan pada 2014, sumbangan khairat kematian daripada Kerajaan Negeri boleh dituntut oleh waris si mati melalui prosedur mudah daripada Adun di kawasan masing-masing atau menerusi penyelaras yang dilantik. - Kedahnews.com