KUALA LUMPUR - Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin mengarahkan Pesuruhjaya Sukan Datuk Zaiton Othman membuat laporan polis ke atas penganjur Klang City International Marathon pada Selasa.
Beliau berkata laporan itu untuk membolehkan polis memulakan siasatan ke atas penganjur yang menganjurkan acara itu tanpa mendapat kelulusan daripada Pejabat Pesuruhjaya Sukan Malaysia (PJS) sebagai pihak yang mengawal selia sebarang penganjuran sukan di negara ini.
Khairy berkata semua pihak yang menganjurkan acara sukan, termasuk larian dan maraton, perlu mendapatkan kebenaran daripada PJS terlebih dahulu sebelum memohon kelulusan daripada persatuan sukan, polis dan pihak berkuasa tempatan (PBT).
"Pada masa ini, polis hanya menjalankan siasatan mengenai kemalangan selepas tiga pelari cedera.
Laporan ini untuk siasatan polis ke atas penganjuran acara itu tanpa memohon lesen daripada PJS.
"Ini kesalahan di bawah Akta Pembangunan Sukan (1997), jika sabit kesalahan, boleh dikenakan denda maksimum RM5,000, hukuman penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya sekali," katanya kepada pemberita selepas melawat salah seorang mangsa, Evelyn Ang Gek Suan, bersama Zaiton di Hospital Sungai Buloh pada Isnin.
Khairy berkata PJS akan menyenarai hitam penganjur terbabit daripada menganjurkan sebarang acara sukan dalam masa terdekat.Dalam kejadian 4.30 pagi di Jalan Kapar Batu 2 pada Ahad, Evelyn, 44, mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan rahang, manakala dua lagi pelari, Ahmad Hadafi Jus, 44, dan Amiruddin Hamid, 37, hanya cedera ringan di bahagian kaki.
Khairy berkata Evelyn yang kini lebih stabil selepas menjalani pembedahan otak untuk membuang darah beku, masih belum sedar dan berada di Unit Rawatan Rapi hospital berkenaan.
Beliau berkata pihaknya dalam proses meminda Akta Pembangunan Sukan sedia ada, dengan mewajibkan pihak penganjur memohon kelulusan PJS 90 hari sebelum acara berlangsung untuk membolehkan PJS membuat semakan mengenai kesediaan dari segi keselamatan dan kewangan penganjur.
"Sudah lama sebelum insiden ini berlaku, saya sudah mencadangkan proses pindaan terhadap akta ini, di mana hukuman denda dinaikkan kepada RM500,000 dan hukuman penjara dipanjangkan.
"Saya juga ingin menasihatkan kepada pihak polis, PBT, Rela dan agensi lain supaya jangan bekerjasama jika penganjur tiada lesen daripada PJS.
Peserta pun perlu semak dan bermula Selasa, semua acara yang mendapat kebenaran PJS, akan dimuat naik dalam laman web kementerian," katanya. -Bernama