Khairy Minta MSN Sedia Pelan Selamatkan 3 Sukan


KUALA LUMPUR - Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar memberi jaminan tiga sukan - angkat berat, sepak takraw dan taekwondo - yang digugurkan daripada sukan teras tidak akan diabaikan.

Justeru, beliau berkata satu pelan untuk menyelamatkan ketiga-tiga sukan itu akan dirancang Majlis Sukan Negara (MSN) dan berharap pemimpin badan sukan terbabit memberi komitmen serta bersetuju untuk melaksanakan pelan yang dirangka itu.

"Saya sudah minta MSN memikirkan cara terbaik untuk menyelamatkan ketiga-tiga sukan berkenaan.

"Namun, saya ingin tegaskan pelan ini bukan bertujuan untuk mengambil alih pengurusan ketiga-tiga sukan terbabit, sebaliknya membantu mereka bangun semula sekali gus membuktikan kita tidak akan mengabaikan mereka," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyaksikan saingan separuh akhir Piala SuperMokh di Bukit Jalil, semalam.

Selasa lalu, Khairy mengumumkan ketiga-tiga sukan itu digugurkan daripada sukan teras selepas Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan MSN membuat semakan semula termasuk kajian mendalam terhadap prestasi ketiga-tiga sukan tersebut sejak 2007.

Selain prestasi yang semakin merosot, kegagalan atlet dalam ujian doping serta kemelut dalaman persatuan turut menjadi faktor ketiga-tiga sukan terbabit digugurkan.

Tindakan itu jelas mengejutkan ketiga-tiga pemimpin badan sukan berkenaan, atlet dan ibu bapa yang tampil memberi pelbagai reaksi.

"Apa yang kita buat ini adalah untuk menghantar isyarat yang jelas. Tanpa isyarat seperti ini mereka tidak akan sedar dan sekarang baru hendak cakap semua perkara akan mereka lakukan.

"Jika saya tidak menggugurkan sukan ini dari Sukan Malaysia (SUKMA), mereka tidak akan mendapat kecaman daripada ibu bapa atlet. Jadi, ini juga isyarat kepada ibu bapa dan orang biasa, bahawa mereka juga terkesan disebabkan pembangunan tidak terurus.

"Saya melihat sesetengah negeri pula menyalahkan keputusan ini dengan berhujah mereka tidak akan menang emas. Itu falsafah yang tidak tepat. SUKMA adalah pembangunan untuk angkat berat, taekwondo dan sepak takraw, tapi setengah negeri menganggap ia lubuk emas," kata Khairy menjawab reaksi yang timbul di sebalik keputusan berkenaan.

Sumber: BH Online