Khairy Serah Shapawi Tentukan Nasib Tiga Sukan


MENTERI Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar menegaskan beliau mempunyai alasan sendiri mengapa tiga sukan - angkat berat, taekwondo dan sepak takraw - digugurkan daripada sukan teras.

Malah, beliau tidak mahu melayan sebarang rayuan ketika ini dan menyerahkan kepada Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail menyelesaikan perkara berbangkit.

Katanya, Shapawi akan bertemu dengan ketiga-tiga persatuan sukan berkenaan bagi menjelaskan sebab mereka digugurkan.

“Saya serahkan kepada Shapawi untuk adakan perbincangan.

“Saya tak nak mendahului apa saja sebarang rayuan yang mungkin akan saya terima. Cuma langkah pertama diambil apabila Shapawi pulang dari Jakarta adalah berjumpa dengan ketiga-tiga persatuan itu untuk menjelaskan sepenuhnya apakah sebab mereka digugurkan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Pertukaran Dokumen Memorandum Persefahaman antara Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dengan industri, Universiti Malaysia Pahang dan Universiti Malaysia Kelantan serta perasmian Kick-Off Kafe Autisme @KBS.

Keputusan menggugurkan tiga sukan itu diputuskan oleh Lembaga Pengurus MSN, semalam selepas kajian mendalam dibuat sejak enam bulan lalu dan ia pertama kali dilakukan sejak tahun 2007.

“Saya ada baca kenyataan persatuan terbabit yang mengatakan keputusan yang dibuat tidak mencerminkan pandangan, prestasi mereka tapi kami ada alasan dan Shapawi akan jelaskan apakah sebab-sebabnya,” katanya.

Program Sukan Teras bermula pada 2005 dengan tujuan menambah penyertaan atlet dalam lapan sukan yang disenaraikan ketika itu - olahraga, akuatik - renang dan terjun, boling, bola sepak, badminton, hoki, skuasy dan gimnastik.

Namun, tiga tahun kemudian, MSN menambah 11 jenis sukan lagi - memanah, berbasikal, boling padang, karate, silat, menembak, sepak takraw, taekwondo, angkat berat serta wushu sekali gus menjadikan keseluruhan 19 sukan teras.

Pengguguran itu bermakna ketiga-tiga sukan itu tidak akan menjadi sukan yang wajib dipertandingkan di Sukan Malaysia (SUKMA) selain tidak menjadi fokus dalam program pembangunan MSN.

Malah, persatuan sukan terbabit perlu melaksanakan program pembangunan sendiri dan perlu mempunyai pelan rancangan jangka panjang untuk bangkit semula dan melakar prestasi memberangsangkan di peringkat antarabangsa sekiranya mahu dimasukkan semula dalam sukan teras.

Sumber: MyMetro