Khalid Buat Kejutan Sedia Bantu BN Pada PRU-14


GEMPAR… Bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim menjadi tumpuan apabila muncul pada Konvensyen UMNO Selangor di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada Sabtu.

Acara tersebut dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang juga Naib Presiden UMNO dan menjalankan tugas sebagai timbalan presiden parti keramat umat Melayu terbesar dunia itu.

Kemunculan Khalid tanpa diduga itu mencetuskan perhatian luar biasa kerana arah mana hendak dituju beliau semasa Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 nanti terus menjadi bahan spekulasi dan teka teki pemerati politik.

Khalid yang kini tidak menjadi anggota mana-mana parti siasah merupakan Ahli Parlimen Bebas Bandar Tun Razak di Kuala Lumpur dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan Pelabuhan Klang di Selangor.

Kebelakangan ini ada yang cakap beliau condong untuk bantu BN semasa PRU ke-14 dan ada yang kata Khalid akan tolong PAS yang mendokongnya semasa menjadi Menteri Besar dahulu khususnya semasa krisis Langkah Kajang.

Semalam pendirian beliau sudah jelas terbentang. Pada majlis perasmian konvensyen, Khalid malahan tampil duduk di pentas utama bersama-sama dengan Ahmad Zahid dan barisan pimpinan UMNO Selangor lain.

Pada sidang akhbar bersama Ahmad Zahid selepas majlis perasmian konvensyen tersebut, Khalid secara rasmi mengumumkan beliau akan membantu kedua-dua pihak iaitu BN dan PAS semasa PRU ke-14 kelak.

Hadir sama di sidang akhbar itu ialah Pengerusi Perhubungan UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar serta bekas Naib Presiden UMNO dan juga bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Muhammad Muhd Taib.

Ujar Khalid lagi, beliau bahkan akan membantu UMNO dan juga telah memberitahu rakan-rakan dalam PAS yang pernah membantu dirinya pada masa lampau bahawa beliau akan juga menolong mereka.

Khalid menegaskan bahawa tiada siapa boleh mendakwa konon beliau sebagai memecahbelahkan rakyat dan akan membantu mana-mana parti demi perpaduan umat Islam di negara ini.

Menurut portal tempatan AgendaDaily, serentak dengan pengumuman secara mengejut itu, beliau mengulangi pendirian untuk tidak akan bertanding pada PRU ke-14 nanti.

Persetujuan Khalid bekerjasama dengan UMNO dan BN Selangor itu akan menyaksikan beliau bergabung dengan trio bekas Menteri Besar negeri tersebut membentuk satu gandingan mantap.

Ia dalam usaha untuk bantu jentera parti menawan kembali Selangor pada PRU ke-14 akan datang. Muhammad kembali ke pangkuan UMNO pada September lalu setelah lima tahun keluar daripada parti tersebut.

“Beliau akan bekerjasama dengan tiga lagi bekas Menteri Besar Selangor bagi membantu Tan Sri Noh Omar dalam misi BN menawan Selangor pada pilihan raya yang akan datang.

“Beliau akan bekerjasama dengan Tan Sri Muhammad yang pernah tukar rumah agam dua kali sebelum ini tapi kembali ke rumah agam merah dan juga dengan Tan Sri Abu Hasan Omar dan Dr Khir Toyo,” kata Ahmad Zahid.

Timbalan Perdana Menteri itu menegaskan bahawa kesudian Khalid memperkuatkan jentera UMNO dan BN Selangor adalah wajar dan tidak perlu dipertikaikan oleh pihak-pihak tertentu.

Ini kerana langkah tersebut membuktikan pendirian dan hala tuju Khalid selari dengan apa yang diperjuangkan oleh parti tersebut untuk menjaga kepentingan rakyat Selangor.

“Kenapa pertikaikan kewajarannya, Tan Sri Khalid walaupun pernah menjadi Menteri Besar Selangor di pentas yang berbeza, kita tahu hatinya tetap merah dan biru.

“Kita amat menghargai usaha beliau kerana agenda beliau tetap sama dengan agenda kita,” kata Ahmad Zahid. – Kedahnews.com