Khidmat Bantuan Guaman Untuk Warga Thailand Di Malaysia


Pusat Bantuan Guaman (PBG) kelolaan Majlis Peguam dengan kerjasama Kedutaan Diraja Thailand di Kuala Lumpur melancarkan Skim Bantuan Guaman Warga Thailand (T-CLAS) semalam bagi menyediakan khidmat nasihat dan bantuan guaman kepada yang memerlukan.

Duta Thailand di Malaysia, Damron Kraikruan berkata tujuan skim tersebut bagi menyelaras usaha-usaha dalam menyediakan bantuan kepada rakyat Thailand yang berdepan dengan masalah berkaitan undang-undang di negara ini.

Beliau berkata terdapat kira-kira 200,000 warga Thailand tinggal dan bekerja di Malaysia dan mereka ini menghadapi kesukaran memahami undang-undang di negara ini.

“Justeru, skim ini akan membantu mereka apabila berdepan dengan permasalahan berhubung perundangan…sebab itu kami memerlukan nasihat dan sokongan daripada PBG,” katanya pada sidang media di ibunegara semalam.

Buat permulaan, katanya, skim itu akan hanya meliputi perkara berkaitan kesalahan jenayah dan keluarga seperti hak penjagaan anak dan penceraian.

“Apabila warga Thailand melakukan kesalahan jenayah, mereka harus mengetahui prosedur dan undang-undang… oleh itu, T-CLAS akan membantu mereka,”katanya.

Sementara itu, Pengerusi PBG Kuala Lumpur, Collin Arvind Andrew berkata skim itu ditubuhkan bagi memastikan warga Thailand di Malaysia mendapat wakil guaman percuma dengan pihak kedutaan negara itu menyediakan dana berhubung kos dan perbelanjaan berkaitan skim tersebut.

Antara lain, katanya, skim tersebut menawarkan khidmat guaman percuma oleh peguam terlatih mereka dalam bidang-bidang mengenai jenayah, Imigresen dan undang-undang keluarga.

Selain itu, pusat T-CLAS juga akan mengadakan lawatan teratur atas dasar satu sama satu dengan tahanan warga Thailand di Penjara Sungai Buloh dan Kajang, katanya.

Menurutnya, program khidmat masyarakat untuk warga Thailand akan turut diadakan bagi mewujudkan kesedaran mengenai pelbagai isu-isu perundangan yang dihadapi oleh rakyat negara itu di Malaysia.

“Kami turut berharap lebih banyak kedutaan asing di negara ini akan tampil untuk mewujudkan skim kerjasama seperti ini dengan PBG Majlis Peguam bagi membolehkan kami mewakili semua warga asing yang terjerat dalam sistem keadilan di negara ini,” katanya.- Bernama