Kira-Kira 30,000 Veteran ATM Belum Mohon BBN


SIK – Kira-kira 30,000 veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) tidak berpencen masih belum memohon Bantuan Bakti Negara (BBN) seperti yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak Julai lepas.

Penolong Pengarah 1 Bahagian Khidmat Pengurusan Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) Left Komander Mohd Yazid Abu Bakar berkata, sebanyak 75,000 veteran ATM layak mendapat bantuan itu.

“Mereka yang layak saya minta majukan permohonan BBN pada tahun hadapan sebab tarikh permohonan untuk tahun 2017 ini telah ditutup Oktober lalu.

“Permohonan boleh dibuat di JHEV negeri dan mereka yang memohon akan menerima bayaran sebanyak RM1,200 dan RM600 secara tahunan,” katanya kepada Bernama baru-baru ini ketika ditemui pada Program Jalinan Kasih Bersama Anggota Dewan Undangan Negeri Jeneri Mahadzir Abd Hamid.

Pada program itu, Mahadzir turut menyampaikan bantuan kit kotak makanan kepada 30 veteran ATM dari sekitar DUN berkenaan.

Mohd Yazid menggesa veteran ATM agar menganggotai persatuan veteran tentera supaya maklumat berkaitan BBN dan skim bantuan lain yang ditawarkan kerajaan kepada mereka dan anggota keluarga dapat disalurkan dengan mudah.

“Kita juga akan giatkan hebahan melalui media cetak dan elektronik, surat hebahan, taklimat dan perjumpaan-perjumpaan berhubung BBN kerana bantuan ini sedikit sebanyak dapat membantu menampung kehidupan veteran,” katanya.

Beliau berkata BBN bertujuan membantu veteran tidak berpencen meningkatkan sosioekonomi mereka di samping menghargai jasa dan pengorbanan mereka dalam memastikan keselamatan negara terpelihara.

BBN adalah satu daripada lima insentif baharu buat anggota veteran ATM yang diumumkan perdana menteri dalam Perhimpunan Veteran ATM sempena Pelancaran Tabung Pahlawan 2017 di Pusat Pameran dan Konvensyen Antarabangsa Mines (MIECC) di Seri Kembangan, Selangor pada 31 Julai lalu.

Najib dipetik sebagai berkata syarat kelayakan BBN berdasarkan kriteria penerima Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) yang akan menerima RM1,200 setahun manakala untuk bukan penerima BR1M pula akan mendapat RM600 setiap tahun bagi veteran ATM tidak berpencen yang berumur 60 tahun ke atas. – BERNAMA