Kisah Karipap Inti ‘Oksigen’, Apam Balik Kosong


‘KUIH karipap inti oksigen!’… Pasti ramai pernah terbaca dan masih ingat kisah seorang pembeli berkongsi dalam media sosial mengenai kuih karipap dibeli di sebuah bazar Ramadan sebelum ini.

Karipap inti oksigen merujuk kepada kuih karipap yang dalamnya hampir 90 peratus kosong, sekadar dipenuhi angin, cuma ada seciput inti tidak kiralah kentang, ayam mahupun sardin.

Kisah yang tular itu mendapat respon daripada pelbagai golongan masyarakat khususnya pembeli lain yang turut berkongsi pengalaman mereka yang lebih kurang serupa cuma berlainan versi.

Rata-rata mempersoalkan sikap peniaga yang raih untung dengan cara tidak sepatutnya atau boleh dikategorikan menipu pembeli. Baru-baru ini, saya sendiri melalui pengalaman sama ketika mahu beli kuih apam balik.

Seperti kita maklum, apam balik adalah sejenis kuih dibuat daripada tepung, ada jagung, kacang dan gula sebagai isi. Kebiasaannya harga sekeping adalah sekitar RM2.50 hingga RM3, namun bergantung kepada lokasi ia dijual.

Harga yang saya katakan itu ialah apam balik yang biasa dijual di tepi jalan, di depan kedai atau pun di pasar malam.

“Pak cik, apam balik satu,” kata saya ketika membuat pesanan kepada si penjual apam balik yang berniaga di depan sebuah pasar raya di Damansara.

“Nak jagung ke biasa?” soal beliau kembali kepada saya. “Nak jagung? Biasa macam mana? Tak faham,” balas saya musykil dengan pertanyaan si penjual yang boleh kata sebulan sekali juga saya beli apam balik daripadanya tapi selalu tiada pun soalan nak jagung atau biasa.

“Biasa tak ada jagung dik, kalau nak jagung kene tambah RM1.50,” jawabnya memberi penjelasan. “Pulak (macam tu pula),” bisik hati kecil saya.

“Oh kalau macam tu bagi biasa je lah pak cik,” balas saya kembali sambil memerhatikan si penjual membuat apam balik saya tanpa jagung!

Berkata di dalam hati, “memang tak sedaplah apam balik aku ni nanti sebab tak ada jagung tapi tak apalah nak tengok dan rasa juga apa hasilnya.”

Masuk ke dalam kereta, saya membuka bungkusan dan terus menyuap apam balik tadi ke dalam mulut.

Allah! Memang ‘out’ rasanya. Seperti makan kuih tepung dengan kacang tabur dan gula pasir semata. Macam ni rasanya apam balik tanpa jagung. Memang tak sedap!

Saya bukan kedekut untuk membayar RM4 bagi mendapatkan apam balik yang ada jagung, sebaliknya sengaja saya berbuat demikian kerana ingin merasai sendiri apam balik ‘tidak cukup sifat’ itu.


Beberapa hari selepas kejadian itu, saya terlihat status laman sosial Facebook seorang kenalan juga mengenai apam balik. Rupa-rupanya bukan saya seorang yang berhadapan pengalaman apam balik tak ada jagung, Farid yang menetap di Shah Alam juga berhadapan situasi sama.

Beliau juga perlu membayar tambahan RM1.50 bagi mendapatkan apam balik yang ada jagung, menjadikan harga seketul ‘apam balik lengkap’ RM4.50.

Memetik sebahagian status Facebook miliknya beliau menulis, “Apam balik bukan memang dijual ada jagung ke? Aku membesar makan apam balik ada jagung. How come? Kena bayar untuk rasa kenikmatan jagung tu?”

Status Facebooknya itu mendapat pelbagai komen yang kritik sikap si penjual yang disifatkan mengambil kesempatan untuk meraih keuntungan semata-mata.

Rata-ratanya mempersoal dan tidak boleh hadam apabila dikatakan apam balik tanpa jagung!

Meskipun rasa kelakar malahan saya ketawa sendirian apabila membaca komen-komen netizen mengenai isu apam balik ini, tetapi secara logik memang ada betulnya mereka membantah apam balik tanpa jagung itu.

Pertamanya, memang sifat semula jadi, sejak dahulu lagi, apam balik memang ada jagung.

Tidak lengkaplah apam balik tanpa jagung kerana majoriti kita beli apam balik pun memang sebab jagungnya.

Kedua, kita bukan minta ‘extra jagung’ untuk dikenakan caj tambahan sebanyak RM1.50. Kita membeli sesuatu yang sepatutnya kita dapat dengan sewajarnya.

Ada perbezaannya jika kita minta ‘extra’. Contohnya, jika kita beli burger di tepi jalan dan mahu ‘extra cheese’ atau beli nasi lemak di warung mak cik Salmah (nama samaran) kita mahu sambal atau ikan bilis lebih.

Itu baru logik dikenakan caj tambahan kerana kita minta lebih.

Kadang-kadang minta sambal dan ikan bilis lebih pun tidak dikenakan caj atas faktor peniaga memikirkan lebih ramai pelanggan akan datang kerana sikap lebih kurang dan tidak berkira.

Bertimbang rasalah wahai peniaga. Jika bayaran tambahan RM1.50 dikenakan untuk apam balik dengan jagung, bayaran tambahan RM1-RM1.50 pula dikenakan jika pembeli mahu ‘extra jagung’.

Akhirnya, harga sekeping apam balik dengan ‘extra jagung’ boleh mencecah RM5.50! Itu baru kisah apam balik tanpa jagung dan karipap oksigen.

Belum lagi saya kongsikan kisah rakan lain yang beli nasi lemak dengan telur bagai dibelah 20 (sebiji telur dibelah 20 bahagian) hingga ibarat senipis tisu!

Laksa utara sekadar mee dan kuah cair tanpa bawang, timun, salad dan telur dengan alasan ‘bahan dah habis’ sedangkan datang hari-hari pun tetap begitulah menunya.

Saya bukan sengaja mahu menghentam jauh sekali memburukkan peniaga yang menaikkan harga barang jualan mereka kerana kita semua sedia maklum harga barang dan harga minyak pun naik.

Sebagai pengguna saya memahami jika golongan peniaga perlu menaikkan sedikit harga demi memastikan mereka tidak rugi dan boleh menampung kos perniagaan.

Akan tetapi biarlah dengan cara yang sepatutnya. Bukan dengan menidakkan perkara atau hak yang ada untuk si pembeli meskipun ada yang menganggap ia sebagai sesuatu yang remeh.

Mungkin dengan RM3 atau RM3.50 kita boleh menikmati apam balik dengan jagung, tanpa sebarang caj tambahan dan jika mahu ‘extra jagung’ barulah sesuai dikenakan bayaran tambahan sewajarnya.

Saya juga percaya, ramai dalam kalangan kita pembeli dan pengguna tidak kisah untuk bayar lebih sedikit asalkan betul-betul berbaloi dengan rasa dan memuaskan hati.

Peniaga juga perlu bijak merancang strategi perniagaan agar tidak dilihat terlalu obses mengaut untung sehingga mengabaikan hak pengguna. Jika sedap dan berbaloi, pengguna pasti akan datang lagi ke kedai anda.

Dan jangan lupa, kuasa media sosial hari ini boleh memberi keuntungan atau kerugian kepada anda bergantung kepada layanan, produk dan perkhidmatan yang diberikan kepada pelanggan. – Bernama