Kisah RNR Tasik Raban Yang Lama Ditutup


MENURUT seorang remaja yang ingin dikenali sebagai Syafiq, 22, dahulu dia selalu melepak di hentian itu bersama rakan-rakannya sebelum Majlis Daerah Lenggong menutup sepenuhnya jalan masuk ke hentian itu.

Katanya, dia banyak kali mendengar kisah misteri di hentian itu, namun mungkin kerana jiwa mudanya, dia tidak begitu takut apatah lagi dia sentiasa bersama rakan-rakannya di situ.

“Kalau ikutkan, saya pun pernah alami perkara pelik di sana. Saya pernah dengar bunyi seakan orang berjalan, orang bercakap di belakang kedai yang sudah tidak beroperasi.

“Selalunya bunyi semakin rancak pada waktu senja. Bunyi orang basuh pinggan pun ada kadangkala. Bila dengar bunyi macam itu, kami terus angkat kaki, tak berani nak lepak lagi.


“Ramai remaja lepak di situ kerana kawasannya memang cantik, boleh nampak Tasik Raban. Sayanglah bila ia ditutup kerana kawasan itu memang unik,” katanya.

Wartawan Sinar Harian sempat ke hentian itu, namun ia sudah ditutup sepenuhnya. Gambar hanya boleh diambil dari tepi jalan.

Sejujurnya, bangunan itu mungkin masih elok namun ia nampak suram malah tidak dinafikan bangunan itu kelihatan agak menyeramkan meskipun dilihat dari jauh.

Sumber: Sinar Online