Kit Siang Dan Guan Eng Berbohong, Putar Belit Kenyataan Hadi Awang


Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi langsung tidak memainkan sentimen perkauman yang bertujuan untuk mencipta sentimen ketegangan kaum di kalangan rakyat, antara Melayu dan bukan Melayu.

Sebaliknya, Lim Kit Siang dan anaknya Lim Guan Eng telah berbohong menerusi kenyataan-kenyataan yang mereka buat, sekali gus mewajarkan kedua-dua pemimpin DAP  didakwa di mahkamah kerana membuat fitnah tidak berasas terhadap Presiden PAS.

Pengarah Pusat Kajian Politik Malaysia, Universiti Utara Malaysia, Dr. Kamarul Zaman Yusoff menjelaskan, berdasarkan kepada transkripsi wawancara  Abdul Hadi ini maka adalah jelas bahawa:

Penasihat DAP, Kit Siang melakukan pembohongan apabila menyatakan, di dalam blog beliau dan di dalam portal berita Malaysiakini pada 16 Disember 2017 bahawa "Presiden PAS Datuk Seri Hadi Awang telah menyertai Najib, menyebarkan pembohongan bahawa saya mahu menjadi Perdana Menteri dan bahawa jika UMNO kalah dalam pilihan raya umum akan datang, orang-orang Melayu dan Islam akan lenyap dalam Malaysia"
Lebih jelas lagi ialah kenyataan Kit Siang yang disiarkan di dalam portal berita Malaysiakini yang dipendekkan menjadi "Presiden PAS sedang menyebarkan pembohongan bahawa saya mahu menjadi Perdana Menteri dan bahawa jika UMNO kalah, orang-orang Melayu dan Islam akan lenyap dalam Malaysia".

Setiausaha Agung DAP, Guan Eng turut melakukan pembohongan apabila menyatakan di dalam laporan portal berita The Malaysian Insight pada 17 Disember 2017, bahawa Datuk Seri Abdul Hadi bermain sentimen perkauman tebal atau asabiyyah, yang beliau dakwa adalah haram dalam Islam dan tak boleh diterima bila dibuat oleh pemimpin agama dan ulama, yang bertujuan untuk mencipta sentimen ketegangan kaum di kalangan rakyat, antara Melayu dan bukan Melayu, dengan mendakwa DAP mahukan jawatan Perdana Menteri.

 Begitu juga dengan dakwaan Guan Eng bahawa "Hadi telah membuat kenyataan tidak beretika dan tidak bermoral yang bertentangan dengan prinsip kebenaran, walaupun Hadi sering menggambarkan dirinya sebagai pemimpin agama dan ulama” yang merupakan satu pembohongan.

Kata Kamarul Zaman, dalam HarakahDaily hari ini, berdasarkan kepada transkripsi wawancara  Abdul Hadi ini juga maka adalah jelas bahawa:

Tidak seperti Kit Siang yang mendakwa pada 13 Jun 2016 bahawa  Abdul Hadi mahu menjadi Perdana Menteri.

Abdul Hadi sendiri tidak mendakwa Kit Siang mahu menjadi Perdana Menteri. Sebaliknya, beliau sekadar mengulas dakwaan wartawan mengenai hasrat pemimpin DAP untuk menjadi Perdana Menteri sahaja dengan berkata "...itu bercanggah dengan realiti di Malaysia,  di mana konsep Islam mestilah Islam itu berkuasa".

Dakwaan Abdul Hadi sendiri kepada DAP pula hanyalah bahawa "...dan DAP tidak mampu untuk menunjukkan satu kerajaan yang bersih kerana banyak cerita-cerita yang dilaporkan oleh media".

Abdul Hadi juga tidak mendakwa bahawa "jika UMNO kalah dalam pilihan raya umum akan datang, orang-orang Melayu dan Islam akan lenyap dalam Malaysia" seperti yang dikatakan oleh Kit Siang. 
Menyebut "keutamaan PAS ialah untuk menjadikan orang Islam memimpin negara" dan "kita mahu supaya dikekalkan kepimpinan Islam dalam negara ini" tidak boleh difahami sebagai menyokong pengekalan UMNO kerana "orang Islam" dan "kepimpinan Islam" itu jauh berbeza dengan "orang UMNO" dan "kepimpinan UMNO". 

Malah, jelas disebutkan oleh  Abdul Hadi bahawa "...dan kita menyeru rakyat supaya memberi kepercayaan kepada kita untuk menunjukkan apa yang kita nyatakan menjadi satu kenyataan" serta "kaji selidik dibuat oleh semua pihak menunjukkan PAS maju dari segi mendapat sokongan rakyat, sangat maju, alhamdulillah, insya-Allah, dan kita tingkatkan lagi sehingga pilihan raya" menunjukkan dengan jelas mengenai hasrat  Abdul Hadi untuk melihat PAS sendiri memerintah.

Abdul Hadi langsung tidak memainkan sentimen perkauman yang bertujuan untuk mencipta sentimen ketegangan kaum di kalangan rakyat, antara Melayu dan bukan Melayu, seperti yang dikatakan oleh  Guan Eng kerana tiada walau sepatah pun istilah "kaum/bangsa" yang digunakan oleh beliau di dalam wawancara itu yang sebaliknya memperkatakan isu kepimpinan dari sudut agama semata-mata.

Begitu juga tidak terdapat apa-apa kandungan wawancara yang menunjukkan bahawa Abdul Hadi "telah membuat kenyataan tak beretika dan tidak bermoral yang bertentangan dengan prinsip kebenaran" seperti yang dikatakan oleh Guan Eng, jelas Kamarul Zaman lagi. - Kedahnews.com.