KETIKA pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang dan Pengerusi Pakatan Harapan Tun Dr. Mahathir Mohamad disebut-sebut kembali sebagai calon pilihan untuk jawatan Perdana Menteri andainya gabungan pembangkang menang PRU14, PAS juga tidak mahu pemimpin mereka disisihkan dalam persaingan itu.
Walaupun digambarkan PAS akan mengalami kekalahan teruk oleh Pakatan Harapan pada pilihan raya nanti, parti itu tidak menolak kemungkinan jawatan Perdana Menteri juga boleh disandang oleh pemimin PAS.
Naib Presiden PAS, Datuk Nik Mohd Amar Nik Abdullah berkata, sekiranya dikehendaki Allah SWT, pimpinan PAS juga mampu diangkat sebagai Perdana Menteri dengan kaedah yang tidak dijangka oleh fikiran manusia.
Mengimbaskan situasi sejarah politik di Kelantan, Timbalan Menteri Besar itu berkata, PAS berjaya mengalahkan UMNO pada 1990, walaupun hanya mampu mendapat dua kerusi pada 1978.
"Pada tahun 1978 orang yang menjatuhkan PAS adalah Tengku Razaleigh Hamzah, tetapi beliau juga yang menjatuhkan UMNO pada 1990.
"Siapa boleh fikir, banyak benda pelik berlaku dalam PAS dan di luar pemikiran manusia"
"Pada zahirnya pendekatan yang dibawa PAS mengundur bagi mata pandangan orang ramai, tetapi beliau yakin agenda Islam yang dibawa mampu memenangkan parti ini.
"Sama juga di Johor, pada 2004, PAS mendapat satu kerusi di negeri itu apabila wakil UMNO salah isi borang, tiada siapa yang mejangka, tetapi sekiranya Allah SWT mahu ia berlaku.
"Pilihan raya akan datang, PAS mungkin tak (menang) banyak, tetapi tidak mustahil kalau Perdana Menteri adalah PAS, jangan rasa pelik, yang penting ahli kena yakin kepada pimpinan parti," katanya.
Beliau berkata, apa yang penting, ahli PAS perlu istiqamah dalam perjuangan dan tidak sesekali terpengaruh dengan hasutan yang mahu merosakkan parti itu, termasuk dari bekas pemimpin parti serpihannya, Parti Amanah Negara.
"Yang penting dalam perjuangan jangan berhenti, jangan rasa lelah dan kecewa, boleh jadi hari ini tidak menang, tetapi lusa menang, tak menang lagi mungkin zaman anak cucu, tetapi keyakinan Islam itu akan menangkan parti," katanya.
Beliau dalam masa yang sama berkata, ketika ini hanya PAS berada dalam keadaan 'sihat' setelah Pakatan Harapan dan BN mempunyai masalah dalaman sendiri.
Beliau berkata, Pakatan Harapan dibelenggu dengan masalah kepimpinan, termasuk isu Tun Dr Mahathir Mohamada yang jelas mempunyai rekod yang tidak baik dalam kepimpinan negara.
"Hanya PAS sahaja berada dalam keadaan terbaik setelah ahli yang bermasalah telah dibersihkan, dengan cara itu kita sudah kembali sihat, " katanya pada satu ceramah di Pengkalan Kubor, Kelantan baru-baru ini - Kedahnews.com
