KM Sarawak Nafi Keluar Kenyataan Bubar BN, Bentuk Kerajaan Sendiri


KUCHING - Pejabat Ketua Menteri (KM) hari ini menafikan kenyataan yang memetik Ketua Menteri, Datuk Patinggi Dr. Abang Abdul Rahman Zohari Tun Abang Openg mahu membubarkan parti Barisan Nasional di Sarawak dan seterusnya akan menubuhkan kerajaan negara Sarawak yang baharu.

Kenyataan itu dikeluarkan kononnya sebagai memberi amaran kepada pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak supaya tidak memberi alasan untuk melambatkan penurunan kuasa kepada kerajaan negeri Sarawak.

Dalam satu kenyataan akhbar yang dikeluarkan oleh Pejabat KM Sarawak, Abang Abdul Rahman Zohari tidak pernah mengeluarkan sebarang kenyataan seumpamanya berhubung isu yang ditularkan menerusi aplikasi WhatsApp dan Facebook.

"Jadi kenyataan yang ditularkan dalam Facebook Borneo Voice adalah palsu dan ia merupakan satu percubaan tidak bertanggungjawab yang bertujuan untuk memburuk-burukkan nama baik Ketua Menteri," kata Pejabat KM Sarawak dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Dalam 'berita palsu' yang ditularkan itu, Abang Abdul Rahman Zohari dikatakan mahu menggunakan kapasitinya sebagai Ketua Menteri yang diistilah setaraf dengan kuasa Perdana Menteri dalam kepimpinan Kerajaan Persekutuan, memberi kata dua kepada Kerajaan Pusat agar tidak berdolak dalih dalam pelaksanaan perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Jika enggan menghormati segala yang telah disepakati dan telah termeterai dalam dokumen itu, Abang Abdul Rahman Zohari didakwa berkata: "Saya tiada lagi pilihan lain selain mahu bubarkan parti Barisan nasional di bumi Sarawak dan seterusnya akan menubuhkan kerajaan negara sarawak yang baharu dalam kalangan parti-parti politik tempatan Sarawak sendiri".

Antara lain, penulis Borneo Voice itu mendakwa Ketua Menteri akan memimpin serta mengemudi kerajaan Sarawak tanpa ada lagi campur tangan kuasa kerajaan dari luar Sarawak yang menguasai kepimpinannya. 

Sumber: Kosmo