Kukuhkan Perpaduan Elak Perpecahan - Sultan Kedah


ALOR SETAR - Umat Islam di Kedah disaran supaya sentiasa memperkukuhkan benteng kesatuan dan ikatan perpaduan antara satu sama lain, sekali gus tidak terpengaruh dengan hasutan pihak tidak bertanggungjawab.

Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah, bertitah ini kerana umat Islam kini sedang berada di zaman penuh cabaran yang jika tidak ditangani dengan semangat perpaduan ia dikhuatiri mampu meruntuhkan tembok keamanan yang dibina sejak sekian lama.

Titahnya, pihak tidak bertanggungjawab yang menghasut ini umpama api dalam sekam yang hanya menanti waktu dan ruang untuk menyalakan api perpecahan supaya nilai kesatuan dipelihara selama ini runtuh menyembah bumi.

"Jika kita biarkan ia berlaku, natijahnya kita akan karam dan tenggelam. Mafhum sebuah hadis membicarakan, bagaikan bahtera yang ditumpangi oleh dua kumpulan yang tidak bersatu; masing-masing tidak mempedulikan hal urusan antara satu sama lain, serta memperjuangkan agenda sempit tanpa asas muafakat yang kukuh.

"Maka, apabila satu kumpulan membuat onar, iaitu menebuk kapal demi matlamat singkat mereka untuk mendapatkan air, sekiranya ia tidak ditangani dengan dasar muafakat yang murni, pasti keseluruhan anak kapal akan binasa, karam menuju kehancuran ke dasar lautan.

"Itulah pentingnya nilai kesatuan yang kita perjuangkan selama ini, ia bagaikan bahtera yang melayari ke satu destinasi, dengan satu matlamat dan tujuan bagi mengharungi segala badai yang bertiup dan ombak yang menghempas, " titahnya pada Majlis Sambutan Maulidur Rasul 1439H/2017M peringkat negeri Kedah, di sini.

Turut berangkat ke majlis itu ialah Sultanah Kedah, Sultanah Maliha Tengku Ariff; Raja Muda Kedah, Tengku Sarafudin Badlishah Sultan Sallehuddin dan Tunku Temenggong Kedah, Tan Sri Tunku Intan Safinaz Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah.

Pada majlis itu, seramai tiga individu menerima anugerah membabitkan Tokoh Pendakwa yang diberikan kepada Dr Shukri Ahmad; Tokoh Imam kepada Ali Ahmad dan Tokoh Ibu Mithali, Siti Aishah Ahmad.

Pada masa sama Sultan Sallehuddin bertitah, selain menerapkan semangat kesatuan dan perpaduan, umat Islam juga harus sentiasa menyemai perasaan kasih sayang sesama insan, serta menyuburkan benih muafakat dan kebersamaan.

Baginda bertitah, umat Islam perlu bersungguh-sungguh dan berusaha keras dalam memastikan nikmat kesatuan yang dikecapi sehingga ke saat ini dapat diwarisi zaman berzaman, dari generasi ke satu generasi.

"Ia dilakukan atas dasar ukhuwah Islamiah yang sejati demi kemajuan agama, bangsa dan negara.

"Percayalah, kita pasti akan sampai ke destinasi itu dengan berkat nilai kesatuan dan muafakat, " titahnya.

Sumber: BH Online