''Lagi Cepat Selesai, Lagi Bagus'' - Jurulatih Sepak Takraw Terengganu


JURULATIH Terengganu, Mohd Futra Abd Ghani berharap kemelut membabitkan sukan sepak takraw di Sukan Malaysia (SUKMA) 2018 di Perak dapat menemui jalan penyelesaian secepat mungkin.

Tegas bekas pemain negara itu, situasi semasa memberi tekanan bukan saja kepada jurulatih, malah pemain dan keluarga mereka yang mengharapkan sukan tradisi berkenaan dikekalkan di pentas SUKMA.

“Sudah pasti saya mengharapkan penyelesaian terbaik dalam perkara ini. Kita tidak mahu fokus dan moral pemain terus terganggu.

“Lebih cepat diselesaikan, adalah lebih bagus. Secara peribadi, saya berharap ia akan terus dipertandingkan pada SUKMA 2018,” kata pemenang emas Sukan SEA 2005 itu.

Setakat ini, skuad sepak takraw Terengganu kendalian Futra sudah melaksanakan persiapan hampir setahun termasuk menjalani pendedahan di luar negara.

Terkini, Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) mahu bertemu dengan Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar bagi menyelesaikan kemelut penyertaan di SUKMA 2018 dan isu pengguguran sukan itu daripada sukan teras.

Sepak takraw antara tiga sukan yang digugurkan daripada sukan teras kendalian Majlis Sukan Negara (MSN) dan tidak dipertandingkan di Sukma 2018.

Dua lagi acara yang digugurkan daripada sukan teras MSN ialah angkat berat dan taekwando. Selepas digugurkan, semua persatuan terbabit perlu berdikari untuk program pembangunan sukan berkenaan, namun masih dibenarkan menyertai kejohanan.

Situasi itu mencetuskan ketegangan antara PSM selepas mendakwa MSN membuat keputusan tidak adil tanpa mendapat input sebenar mengenai situasi melanda sukan sepak takraw.

MSN melakukan keputusan menggugurkan tiga acara itu dengan alasan kemorosotan pretasi, masalah doping serta isu kemelut pengurusan.

Sumber: MyMetro