Lamborghini Lancar SUV Pertama, Terpantas Di Dunia


SEBUT sahaja jenama Lamborghini, tentu terbayang barisan model kereta lumba mewah diasaskan di Itali sejak 1963 sebelum kemudian dimiliki gergasi automotif Volkswagen dan Audi dari Jerman.

Namun media antarabangsa semalam melaporkan pengeluar sports car dan super-car terkemuka Eropah itu tampil melancarkan model pertama kenderaan utiliti sukan (SUV) yang bakal memasuki pasaran global pada tahun depan.

Dikenali sebagai Urus bersempena nama sejenis spesies lembu gergasi yang telah pun pupus sejak abad ke-17, model SUV tersebut malahan dikatakan paling pantas di dunia dengan kelajuan maksimum 305 kilometer sejam (km/j).

Sebenarnya Lamborghini pernah mengeluarkan model SUV kecil dikenali sebagai LM002 pada 1986, tetapi ia gagal apabila cuma berjaya dijual sebanyak 328 unit kerana bentuknya seperti trak ringan berkotak dengan empat pintu.


Pengeluaran model itu yang turut digelar sebagai Rambo Lambo kerana pernah digunakan sebagai kenderaan lasak tentera akhirnya terpaksa dihentikan pada 1993 meskipun dikuasakan dengan enjin V12 dan berkelajuan 210 km/j.

Bagaimanapun model Urus kali ini nyata lebih kemas rekaannya setanding dengan pelbagai SUV jenama popular Jepun, iaitu Honda, Toyota dan Nissan selain Hyundai dari Korea Selatan atau Ford dari Amerika Syarikat (AS).

Dikuasakan enjin V8 turbo kembar, Urus dijangka melonjakkan sekali ganda pengeluaran kenderaan Lamborghini kepada 7,000 unit setahun berdasarkan trend pengguna mulai gemar model SUV khasnya mereka yang berkeluarga.
[

Apa agak menarik, Urus boleh dibawa seumpama kenderaan pacuan empat roda malah ada enam mode pemanduan yang disebut sebagai Strada (jalanan), Sport (sukan), Corsa (litar), Sabbia (pasir), Terra (darat) dan Neve (salji).

Ini bermakna ia sesuai dipandu dari dataran tandus bersalji tebal di Siberia timur jauh Rusia membawa kepada gurun panas Sahara di utara Afrika selain menempuh kesesakan jalan berliku di Saks Fifth Avenue, New York, AS.

Model SUV ini bakal dipasang di sebuah kilang canggih Lamborghini di Sant’Agata Bolognese, Itali dan akan dijual di pasaran seluruh dunia pada harga tawaran 187,389 euro (kira-kira RM898,663). - Kedahnews.com