'Lebih Ramai Kaki Fitnah Meracau Kena Demam PRU14' - Dr. Halimah


Pihak yang menyebarkan fitnah kononnya lebih ramai ADUN PAS akan 'melompat' kepada parti lain termasuk PKR kini sebagai semakin 'meracau'.

Selepas ini mungkin mereka akan dakwa pula ahli dan pemimpin PAS akan melompat kepada DAP.

 Mereka yang menyebarkan berita pembohongan itu diminta bertaubat,

Ahli Jawatankuasa PAS Pusat Dr. Halimah Ali berkata, oleh kerana 'demam PRU14' semakin memuncak, ramai akan meracau bila suhu melangit.

"Virus PRU14 memang virulen dan poten. Jika terjangkit, akan hilang kewarasan. Yang betul dikata salah. Yang salah dikata betul. Yang dulu lawan, dianggap kawan. Yang dulu kawan dilawan habis-habisan," katanya dipetika daripada Harakahdaily.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Selat Klang berkata, mereka kukuh berprinsip dilabelkan gila jawatan sementara yang melompat tak tahan kepanasan.

"Mereka cuba bertubi-tubi membina satu persepsi negatif mengenai YB PAS Selangor. Mereka lontar sebelum ini ada beberapa YB akan keluar PAS, dulu keluar PAS masuk parti serpihan PAS.

Terbaru dikatakan pula 10 Adun PAS akan keluar PAS. Kali ini dikatakan masuk PKR," ujarnya lagi.

Menurut Dr. Halimah, tujuan mereka ialah untuk menunjukkan bahawa ADUN berkenaan telah hilang keyakinan kepada PAS.

" Mesej yang puak ini mahu bina ialah seolah-olah PAS tidak kuat. Maka jangan undi PAS. Tengok! YB PAS pun dah keluar..., "katanya.

Sementara itu  Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man  semalam mengi­ngatkan semua ahli dan pimpinan parti itu untuk bersedia menghadapi gelombang fitnah yang dipercayai lebih dahsyat menjelang Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Tuan Ibrahim menjelaskan beliau sendiri telah menemui ADUN  tersebut dan  mereka adalah mangsa fitnah jahat golongan terdesak untuk menyambung nyawa politik mereka sebelum PRU-14.

Sebelum ini ada pemimpin PKR Selangor mempelawa ADUN PAS agar menyertai PKR bagi mengelakkan pertandingan tiga penjuru pada PRU14. - Kedahnews.com