Lelaki Di Sungai Petani Cedera Disamun, 10 Suspek Ditahan


ALOR SETAR – Ekoran laporan seorang lelaki berusia 24 tahun di Sungai Petani yang dicederakan dan disamun sekumpulan lelaki di kawasan tapak kilang di Bukit Selambau pada kira-kira 9 malam semalam, membawa kepada penahanan 10 suspek.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, ACP Saifi Abdul Hamid berkata, laporan polis itu dibuat oleh bapa mangsa pada kira-kira 1 pagi semalam, selepas membawa anaknya mendapatkan rawatan di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH).

“Menurut bapa mangsa, anaknya pulang ke rumah dalam keadaan berlumuran darah, dengan kesan kecederaan pada pipi kanan, tangan kanan dan belakang badan, selepas disamun dan dicederakan beberapa individu tidak dikenali, dengan parang.

“Siasatan kemudiannya mendapati, mangsa yang menaiki motosikal bersendirian dipukul dengan parang dan kayu sewaktu melintasi lokasi kejadian, dompet mangsa dilarikan dan mangsa dibiarkan di situ,” katanya.

Saifi berkata, mangsa yang mengalami cedera selepas disamun dan ditetak kemudiannya terpaksa menaiki motosikal dalam keadaan berlumuran darah untuk pulang ke rumah bapanya.

“Susulan kejadian tersebut, pasukan dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda telah menahan 10 suspek lelaki berusia lingkungan 18 hingga 26 tahun di sekitar Bukit Selambau dan Sungai Petani, antara pukul 2 pagi sehingga 8 pagi tadi, bagi membantu siasatan.

“Polis turut merampas enam buah motosikal, sebuah kereta, tiga bilah parang, sehelai jaket berwarna hitam serta dua topi keledar yang disyaki digunakan sewaktu kejadian,” katanya.

Saifi berkata lapan daripada suspek direman selama seminggu bermula semalam manakala permohonan reman terhadap dua lagi suspek akan dibuat pagi hari ini. - Kedahnews.com