BUTTERWORTH – Polis menahan seorang lelaki yang merupakan anggota sindiket pengedaran dadah dan merampas heroin serta syabu bernilai RM24,300 dalam serbuan di rumahnya di Jalan Pantai, di sini awal semalam.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU) ACP Noorzainy Mohd Nor berkata bertindak hasil risikan dan intipan, sepasukan polis menyerbu rumah lelaki berusia 34 tahun itu kira-kira 5 pagi dan menahan suspek.
“Pemeriksaan dalam rumah lelaki yang bekerja sebagai buruh itu, polis menemui dua paket heroin seberat 310 gram (g) dan tiga paket syabu seberat 70g. Semuanya bernilai RM24,300,” katanya di sini hari ini.
Berdasarkan siasatan, lelaki itu mendapat bekalan dadah daripada sindiketnya sebelum membungkus semula dan menjual kepada pembeli di sekitar Butterworth sejak beberapa bulan lepas.
Katanya lelaki yang turut positif dadah dan mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah serta dadah itu kini direman tujuh hari bagi membantu siasatan.
Noorzainy berkata polis turut menyita sebuah motosikal milik suspek dan beberapa barangannya untuk siasatan lanjut.
Dalam perkembangan lain, Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) ACP Nik Ros Azhan Nik Abdul Hamid berkata polis menahan seorang lelaki berusia 24 tahun yang merupakan pengedar dadah dan merampas 14 bungkusan kecil heroin di Taman Impian, Alma di sini kelmarin.
Katanya polis yang sedang melakukan rondaan di situ menahan lelaki yang sedang menunggang motosikal itu pada 7 malam dan pemeriksaan menemui dadah bernilai kira-kira RM10,000 tersebut.
“Berdasarkan siasatan, lelaki itu baru mendapatkan bekalan dadah dan dalam perjalanan untuk menghantar kepada pelanggannya. Polis kini sedang kesan sindiket pengedaran dadah berkenaan,” katanya.
Beliau berkata lelaki yang tidak bekerja itu kini direman selama tujuh hari dan dia juga positif dadah. – BERNAMA