Lelaki Parah Ditetak Penyamun Di Sungai Petani


ALOR SETAR - Seorang lelaki berusia 24 tahun cedera parah di bahagian kepala dan badan apabila diserang beberapa lelaki dengan menggunakan parang dalam kejadian samun di kawasan tapak kilang, Bukit Selambau, Sungai Petani, malam semalam.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Saifi Abdul Hamid berkata, kejadian itu berlaku kira-kira jam 9 malam ketika mangsa dikatakan sedang menaiki motosikal seorang diri melalui kawasan tersebut bagi pulang ke rumahnya.

"Setibanya di kawasan kejadian, dia mendakwa dipukul oleh beberapa suspek yang menggunakan kayu dan parang. Suspek-suspek itu juga didakwa mengambil dompet mangsa sebelum melarikan diri.

"Biar pun mengalami kecederaan di beberapa anggota badan, dia masih mampu untuk menunggang motosikalnya ke rumah sebelum dibawa ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) dekat sini oleh bapanya untuk menerima rawatan," katanya. 

Kejadian itu mengebabkan mangsa mengalami luka di pipi kanan, tangan kanan dan belakang badan dipercayai akibat ditetak senjata tajam.

"Laporan polis kemudiannya dibuat oleh bapa mangsa yang berusia 49 tahun kira-kira pukul 1.04 pagi ini.

"Ekoran daripada itu, sepasukan anggota polis telah bertindak bermula pukul 2 hingga pukul 8 pagi ini bagi menahan 10 individu serta merampas enam motosikal, sebuah kereta, tiga bilah parang, sehelai jaket hitam dan dua topi keledar yang disyaki digunakan semasa kejadian," katanya.

Katanya, kesemua tangkapan dibawa ke Mahkamah Majistret di sini untuk permohonan reman dengan kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan ketika melakukan samun. - Kedahnews.com