Lelaki Warga Indonesia Ditahan Disyaki Cabul Remaja


KAJANG - Seorang lelaki warga Indonesia berusia 56 tahun ditahan kerana disyaki mencabul remaja perempuan berusia 16 tahun di Cheras Hartamas di sini.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd. Yusoff berkata, suspek merupakan rakan perniagaan bapa mangsa.

“Mangsa mendakwa suspek sering membuat gangguan seksual terhadap dirinya sejak tahun 2014 semasa berusia 13 tahun.

“Pada Khamis lalu, kira-kira pukul 1 petang, suspek telah masuk ke dalam bilik mangsa dan cuba berbual tetapi kemudian bertindak ganas dengan mencekik lehernya sebelum mencabul. Mangsa kemudian membuat laporan polis keesokkan harinya,” katanya pada sidang akhbar semalam.

Ahmad Dzaffir menambah, bapa dan ibu tiri mangsa tiada di Malaysia kerana urusan kerja dan mangsa dan adiknya berada dalam jagaan suspek selama beberapa minggu.

“Suspek juga pernah melakukan cubaan cabul terhadap adik perempuan mangsa yang berusia lapan tahun.

“Suspek juga pernah menawarkan hubungan seks dengan mangsa,” ujarnya.

Beliau berkata, suspek ditahan pada Jumaat lalu serta direman selama lima hari hingga esok (semalam).

“Polis akan membuat permohonan untuk menyambung reman.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017, “ ujarnya. 

Sumber - Kosmo