SHAH ALAM - Garis panduan sudah menetapkan bahawa seorang guru tidak dibenarkan menampar pelajarnya walaupun bertujuan memberi pengajaran.
Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP), Kamarozaman Abd Razak berkata, seorang guru bagaimanapun dibenarkan merotan pelajarnya setelah mendapat kebenaran daripada pengetua atau guru besar sekolah.
“Guru yang boleh merotan itu pula, adalah yang telah diberikan kuasa atau dilantik oleh guru besar atau pengetua seperti penolong kanan hal ehwal murid atau guru disiplin. Ketika merotan perlu ada saksi dan pelajar perlu turunkan tandatangan.
“Operasi Prosedur Standard (SOP) sudah ada, cuma dalam keadaan tertentu seorang guru perlu tegas dan dalam ketegasan itu mungkin guru itu tertampar atau mencubit. Sebagai ibu bapa, selagi ia tidak mendatangkan kecederaan maafkanlah. Itu sebagai mendidik anak-anak,” katanya.
Namun, tidak dinafikan terdapat segelintir ibu bapa yang tidak boleh menerima tindakan guru ini dan mahukan anak mereka dilayan bagaikan raja.
“Anak-anak ini pula kalau ibu bapa ‘memperjuangkan’ tindakan mereka, pelajar akan rasa macam rajalah. Sebagai ibu bapa, mereka perlu profesional dan tidak emosional,” katanya.
Kamarozaman berharap, isu ini dapat diselesaikan secara baik.
“Saya mohon pihak luar yang tidak terlibat dalam isu ini, menjadi pendamai, bukannya mengeruhkan lagi keadaan.
“Jangan mengambil kesempatan, kerana ia akan merosakkan satu sistem yang selama ini dihargai masyarakat,” katanya.
Sumber: Sinar Harian