Lim Kit Siang Menghidap Kanser Tahap Pertama


GEORGETOWN – Ketua Parlimen DAP merangkap Ahli Parlimen Gelang Patah, Lim Kit Siang, dilaporkan menghidap kanser tahap pertama pada buah pinggang kirinya.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, berkata ayahnya selamat menjalani pembedahan membuang tumor kecil berkenaan pada 19 Disember lalu.

“Beliau selamat menjalani pembedahan tanpa sebarang komplikasi. Doktor juga menjangkakan beliau akan pulih sepenuhnya.

“Beliau beransur sembuh daripada pembedahan dan sudah mula bersiar meregangkan kaki,” katanya menerusi satu kenyataan di sini, semalam .

Guan Eng berkata, sepanjang tempoh pemulihan, semua urusan berkaitan Parlimen Gelang Patah akan dikendalikan wakil khasnya, Ng Siam Luang dan pejabat parlimen DAP Gelang Patah.

Katanya, Pengerusi DAP Johor merangkap Ahli Parlimen Kluang, Liew Chin Tong, juga akan membantu menyelia Parlimen Gelang Patah sepanjang ketiadaan Kit Siang. 

Sumber: BH ONLINE