Lima Beradik Pilih Tarikh Sama Sanding Serentak Di Arau


ARAU – Lima beradik, tiga daripadanya lelaki, dari Kampung Behor Mentalon, di sini, mencipta kelainan apabila sepakat memilih tarikh sama hari ini untuk bersanding dalam satu majlis perkahwinan.

Majlis akad nikah anak kepada pasangan Tayib Zakaria, 55 dan Siti Aishah Shafie, 48, itu diadakan setiap minggu sepanjang bulan lalu.

Anak pasangan itu ialah Mohd Izwan Haris, 28, yang mengahwini Farah Adiba Pisol, 25; Mohd Najhan Hafiq, 26, dengan pasangannya, Huziana Yap Nget Toh, 22 dan Mohd Fakhrul Iqram, 23, dengan Siti Nurasmiza Sabri, 21.

Manakala anak perempuan mereka, Nur Aqila, 21, dengan Mohd Rais Romli, 22, dan Nur Anita Dalilah, 19 dengan Mohd Firdaus Harta, 23.

Tayib yang juga seorang kontraktor ketika ditemui melahirkan rasa bersyukur kerana majlis yang dirancang sejak tiga bulan lalu itu berjalan lancar.

“Segalanya kerana Allah, mulanya tiga anak lelaki yang sepatutnya naik pelamin tidak sangka dalam tempoh yang sama dua anak perempuan turut disunting.

“Sebelum ini anak kedua yang berkahwin, jadi sudah ada pengalaman dari sudut persediaan yang membezakannya jemputan kali ini lebih ramai, iaitu 10,000 berbanding 7,000,” katanya.

Pada majlis berkenaan, sebanyak tiga ekor kerbau dan dua ekor lembu serta 200 ekor ayam digunakan untuk penyediaan makanan.

Antara hidangan yang disediakan kepada tetamu ayam masak merah dan gulai kawah.

Sementara itu, pengantin lelaki yang juga anak sulung kepada Tayib, Mohd Izwan Haris, tidak menyangka majlis perkahwinannya akan dikongsi bersama empat adik beradik lain.

“Alhamdulilah, saya gembira dengan majlis hari ini dan pada masa yang sama tidak pernah terlintas daripada kami tujuh adik beradik, lima orang naik pelamin serentak.

“Majlis ini boleh dikatakan hadiah paling besar kepada emak dan ayah dalam membesarkan kami,” katanya.

Sumber – Berita Harian