SEPANG - Malaysia Airlines Berhad (MAB) menerima pesawat kedua Airbus A350-900 XWB dengan menampilkan motif khas Negaraku.
Menurut kenyataan MAB, pesawat MH5025 itu tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpue (KLIA) di sini hari ini pukul 9.45 pagi setelah berlepas dari Toulouse, Perancis pada 2.02 petang semalam.
Ketibaan pesawat baharu itu disambut oleh Ketua Pegawai Eksekutif MAB, Kapten Izham Ismail
"Dengan menampilkan nombor pendaftaran 9M-MAC, pesawat membawa Jalur Gemilang itu bakal menggalas imej Malaysia ke serata dunia," kata kenyataan itu hari ini.
A350-900 yang merupakan jenis pesawat badan besar menawarkan empat tempat duduk kelas pertama, 35 tempat duduk kelas perniagaan serta 247 tempat duduk kelas ekonomi yang memiliki ruang lebih selesa.
Pesawat menggunakan enjin Rolls-Royce Trent XWB itu memberi penjimatan kos operasi bahan bakar sehingga 25 peratus selain dilengkapi dengan pelbagai ciri baharu termasuk ruang siling lebih tinggi, tingkap lebih besar, pencahayaan dalaman diod pemancar cahaya (LED) serta kemudahan internet secara WiFi.
Sumber: Utusan Online