Mahasiswa Dakwa Dicabul Rakan Sekuliah


PARIT  - Seorang mahasiswa perempuan tahun pertama di sebuah institut pengajian tinggi dekat sini mendakwa dicabul seorang lelaki yang merupakan rakan sekuliahnya ketika mereka keluar bersama untuk mengulang kaji pelajaran pada Sabtu lalu.

Dalam kejadian pada kira-kira pukul 12 tengah malam itu, mangsa yang merupakan pelajar Kejuruteraan Mekanikal turut dipaksa melakukan onani terhadap lelaki itu di dalam kereta jenis Suzuki Swift yang dinaiki mereka sebelum dicabul.

Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintenden Mohamad Zainal Abdullah berkata, sebelum itu lelaki tersebut yang merupakan pelajar tahun ketiga di institut pengajian tinggi sama telah menjemput mangsa di tepi asramanya untuk Kompleks Canselor di dalam kawasan universiti bagi mengulangkaji pelajaran.

Mohamad Zainal berkata, namun suspek mengubah haluan ke sebuah kedai serbaneka 24 jam di Batu Gajah dekat sini.

“Suspek mula bercakap perkataan lucah ketika dalam perjalanan ke kedai serbaneka itu. Suspek membeli minyak bayi dan memaksa mangsa melakukan onani di dalam kereta yang sedang bergerak.

“Suspek seterusnya memberhentikan kenderaan di tepi jalan dan mula mencabul mangsa sebelum menghantarnya kembali ke asrama,” katanya.

Menurut Mohamad Zainal, suspek ditahan semalam semasa datang menyerah diri di Balai Polis Seri Iskandar dekat sini dan kes disiasat di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan kerana mencabul.

Sumber: Utusan Online