Mahathir Perlu Tunduk Pada Syarat PKR Jika Mahu Jadi PM "Sementara"


ALOR SETAR - Tun Dr Mahathir Mohamad hampir disahkan bakal menjadi calon Perdana Menteri bagi Pakatan Harapan sekiranya sanggup tunduk kepada syarat-syarat yang dikemukakan PKR untuk tujuan tersebut.

Antara syarat yang dikemukakan PKR adalah Mahathir perlu membebaskan Dato' Seri Anwar Ibrahim dari penjara dengan seberapa segera.

Kemudian, Mahathir juga perlu meletak jawatan sebagai Perdana Menteri, menyerahkan kuasa dengan melantik Anwar sebagai Perdana Menteri baru dalam tempoh enam hingga setahun sejurus selepas Pakatan Harapan berkuasa.

Paling penting, Mahathir perlu berjanji untuk sanggup menjadi Perdana Menteri dengan status "sementara" bagi memberi laluan kepada Anwar untuk mengepalai Kerajaan Malaysia.

"Kami setuju menamakan Dr Mahathir dan Wan Azizah tetapi dengan beberapa syarat semasa mesyuarat biro politik.

"Antara syaratnya adalah membebaskan segera Datuk Seri Anwar dan kemudian melantiknya sebagai perdana menteri baru dalam masa enam hingga 12 bulan (selepas kita mengambil-alih kuasa).

"Kami juga mahu (Dr Mahathir) berjanji bahawa beliau hanya akan menjadi Perdana Menteri sementara sehingga Anwar mengambil alih," kata sumber PKR, memetik laporan dari portal pro-pembangkang.

Portal itu menjelaskan bahawa sumber berkenaan enggan namanya didedahkan, namun keputusan tersebut dikatakan telah dicapai di dalam mesyuarat biro politik PKR pada 19 Disember lalu.

Turut difahamkan bahawa keputusan itu juga mendapat restu daripada Ketua Umum PKR, Anwar yang kini menjalani hukuman penjara di Sungai Buloh atas kesalahan jenayah yang diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan.

Portal tersebut juga menjelaskan bahawa Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail telah ditugaskan untuk bersemuka dengan beberapa tokoh dari tiga parti lain, termasuk Mahathir untuk berbincang mengenai perkara itu.

"Beliau diamanahkan untuk berjumpa dengan tokoh tertentu agar mereka bersetuju dengan cadangan (syarat) ini," kata sumber tersebut.

Anwar dijangka akan dibebaskan pada pertengahan tahun depan selepas tamat tempoh hukuman, namun bakal berdepan dengan larangan lima tahun daripada menyertai politik selepas dibebaskan sebagaimana yang ditetapkan perundangan negara. - Kedahnews.com