Mahathir Pulangkan Dua Pingat Kebesaran Selangor


KUALA LUMPUR- Dengan biadap dan sombongnya, bekas negarawan Tun Dr Mahathir Mohamad memulangkan dua pingat kebesaran yang diterimanya daripada Sultan Selangor.

Kedua-dua pingat yang dikembalikan itu difahamkan masing-masing diterima daripada Sultan Selangor pada 1978 dan 2003, dan telah diserahkan kepada seorang pegawai kanan di Istana Bukit Kayangan di Shah Alam pada Khamis lalu.

Ia merupakan susulan kepada titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah mengingatkan semua pihak supaya tidak mempersendakan isu bangsa dan keturunan sebagai modal politik.

Merujuk kepada ucapan Mahathir ada himpunan Sayangi Malaysia, Hapuskan Kleptokrasi di Petaling Jaya pada 14 Oktober lalu, baginda turut bertitah tindakan itu boleh mengugat keharmonian dan perpaduan rakyat.

Sultan Sharafuddin juga menyatakan rasa kecewa dan murkanya atas ucapan Mahathir itu yang dilihat cuba menghasut rakyat untuk membenci, menghina dan memandang serong terhadap bangsa Bugis.

Mahathir menerima Darjah Kebesaran Seri Paduka Mahkota Selangor (SPMS) kelas pertama pada 22 Jun 1978 dan ia hanya dianugerahkan kepada dua individu pada sesuatu masa.

Beliau juga menerima Darjah Yang Amat Dihormati Kelas Pertama (DK) sebulan sebelum bersara sebagai perdana menteri pada Oktober 2003.

Mahathir menerima penghargaan itu pada majlis Jasamu Dikenang di Istana Alam Shah di Kelang.

Penganugerahan pingat itu dihadkan hanya kepada 25 orang pada sesuatu masa sebagai tanda penghargaan kerajaan negeri terhadap sumbangan individu yang terpilih.

Sultan Sharafuddin turut memberi pandangan mengenai Mahathir dalam temu bual baginda dengan akhbar The Star beberapa hari lalu. - Kedahnews.com