Mahfuz Sokong Mahathir Jadi Calon PM Pakatan Harapan


ALOR SETAR - Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar yang teah mengumumkan keluar PAS hari ini menyokong penuh Pengerusi Pakatan Harapan Tun Dr. Mahathir Mohamad sebagai calon Perdana Menteri jika pakatan menang PRU14.

"Walaupun usia Tun Mahathir sudah 93 tahun, beliau berpengalaman dalam mentadbir negara berbanding orang yang lebih muda (Datuk Seri Najib), " kata Mahfuz.

Beliau juga yakin Dr. Mahathir boleh menang di Pulau Langkawi atau Kubang Pasu kerana kedua tempat itu sinonim dengan bekas Perdana Menteri itu.

Mahfuz berkata demikian ketika ditanya pandangan beliau mengenai cadangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang mencadangkan  Dr. Mahathir sebagai calon Perdana Menteri ke-7.

Dr. Mahathir semasa sidang akhbar selepas Mesyuarat Agung Pertama PPBM semalam juga menyatakan beliau mempunyai tiga kawasan pilihan untuk bertanding pada PRU14, iaitu Putrajaya, Kubang Pasu dan Pulau Langkawi.

Cadangan PPBM menonjolkan Dr. Mahathir sebagai calon Perdana Menteri sebelum pengumuman rasmi 7 Januari ini tidak disenangi oleh PKR. 

PKR mengharapkan Presidennya Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail untuk jawatan tersebut sebelum diambilalih oleh suaminya, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang kini masih ditahan di penjara atas kesalahan meliwat pembantunya. - Kedahnews.com