Malaysia Bantu Mangsa Ribut Tropika Tembin Di Filipina


KUALA LUMPUR - Malaysia bersiap sedia menghantar bantuan kemanusiaan berupa bekalan makanan ke selatan Filipina yang terjejas selepas dilanda ribut tropika Tembin.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata beliau sudah mengarahkan Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor untuk mempersiapkan anggota dan menyelaraskan penyerahan bantuan ke sana.

"Pagi ini, saya pulang dari lawatan kerja ke Maghribi. Saya meneliti kesan ribut tropika Tembin yang melanda Filipina selatan sehingga menyebabkan banjir dan tanah runtuh, khususnya di bandar Tubod dan Piagapo.

"Sebaik tiba, saya menghubungi Setiausaha Pertahanan Filipina, Setiausaha Delfin Lorenzana, untuk berkongsi rasa simpati Kementerian Pertahanan, ATM dan rakyat Malaysia terhadap mangsa bencana," katanya dalam kenyataan hari ini.


Jumlah korban akibat tanah runtuh dan banjir di Filipina dilaporkan terus meningkat kepada lebih 200 orang selepas ribut tropika Tembin melanda pulau kedua terbesar negara itu, sehingga memaksa puluhan ribu penduduk berpindah.

Ribut tropika Tembin melanda pulau Mindanao yang mempunyai 20 juta penduduk, pada Jumaat, dengan kelajuan angin 125 kilometer sejam (kmj), selain membawa hujan lebat selama sejam.

Berdasarkan rekod Persekutuan Antarabangsa Palang Merah dan Persatuan Bulan Sabit Merah (IFRC) pula, lebih 70,000 penduduk Mindanao sudah dipindahkan.

Sumber: BH Online