Malaysia Bimbang Agenda Peribadi Trump


BAGAN DATUK  - Malaysia menyuarakan kebimbangan terhadap Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump yang mungkin mempunyai agenda peribadi apabila mahu mengiktiraf Baitulmuqaddis sebagai ibu negara Israel yang baharu.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, ini kerana terdapat ahli keluarga Trump yang dilihat cen­derung menyokong rejim Zionis.

“Isu tersebut (mengiktiraf Baitulmuqaddis sebagai ibu negara Israel) bukan merupakan isu agama semata-mata tetapi agenda peribadi kerana salah seorang ahli keluarganya (Trump) dilihat telah menghasut beliau mengiktiraf Baitulmuqaddis sebagai ibu negara Israel yang baharu.

"Justeru tindakan Trump bukan hanya perlu ditentang oleh umat Islam sahaja sebaliknya semua rakyat negara ini tanpa me­ngira kaum atau agama,” katanya ketika berucap merasmikan Majlis Jamuan Makan Malam Sempena Sambutan Hari Krismas 2017 anjuran Persatuan Paderi-Paderi Kristian Hilir Perak di Dewan Sanmarka Orang India, Hutan Melintang dekat sini.

Yang turut hadir isteri Timbalan Perdana Menteri, Datin Seri Hamidah Khamis; Pegawai Daerah Bagan Datuk, Datuk Hamzah Husin dan Timbalan Ketua Polis negeri, Datuk Omar Mammah.

Sementara itu, Ahmad Zahid sekali lagi mengulangi pendirian tegas kerajaan untuk membenteras pengganas termasuk rakyat Malaysia yang kini ditahan di negara luar.

Menurutnya, tidak ada satu agama pun yang mengajar pe­nganutnya membenci orang lain sama ada berbeza politik atau agama, atau mengajar penganutnya menjadi pengganas se­perti Daesh.

Dalam majlis berasingan di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Chong San, Bagan Sungai Burung di sini, Ahmad Zahid berkata, Kementerian Dalam Negeri (KDN) tidak akan melindungi mana-mana pegawai atau anggota polis yang terlibat melakukan jenayah.

Beliau yang juga Menteri Dalam Negeri menegaskan, mereka yang terlibat dalam jenayah pasti tidak akan terlepas daripada tindakan undang-undang tanpa mengira pangkat dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Tegas beliau, soal-soal yang menganggap bahawa integriti cuma tindakan sampingan adalah tidak benar sebaliknya kerajaan, PDRM dan Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) komited bahawa soal jenayah tidak pilih bulu.

“Sama ada pihak berkuasa atau mana-mana penjenayah, kita tidak akan berkompromi, tindakan pasti akan sampai.

“Kerajaan sentiasa memberikan keutamaan dalam soal keselamatan rakyat, bukan hanya soal pencerobohan tapi jika kejadian jenayah berlaku apatah lagi jika dilakukan oleh pihak berkuasa dan anggotanya maka tindakan pasti dilakukan,” tegasnya.

Sumber: Utusan Online