KUALA LUMPUR - Skuad badminton negara akan bergelut untuk melayakkan diri ke pusingan akhir Piala Thomas 2018 yang akan berlangsung di Bangkok, Mei hadapan kata Rashid Sidek.
Bekas pemain perseorangan negara itu, yang memenangi Piala Thomas 1992, berkata walaupun tidak menafikan terus peluang Malaysia untuk ke Bangkok, namun katanya Malaysia tidak memiliki kekuatan seimbang untuk menghadapi saingan lawan dalam Kejohanan Berpasukan Asia yang merupakan aksi Kelayakan Piala Thomas di Alor Setar, Februari hadapan.
Katanya, untuk berada dalam keadaan selesa, sesebuah pasukan perlu memiliki kekuatan dalam empat acara sama ada dua daripada perseorangan dan dua menerusi acara beregu atau tiga acara perseorangan.
“Malaysia boleh layak ke Piala Thomas tetapi akan berdepan cabaran sangat sukar daripada negara-negara lain yang memiliki barisan pemain yang seimbang.
“Jurang (kemampuan) di antara pemain utama dengan pemain lain kita sangat jauh, seperti contoh (Datuk Lee) Chong Wei berada di kedudukan kedua dunia, pemain kedua pula berada di tempat ke-40 (Lee Zii Jia, 43 dunia),” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, di sini semalam.
Malaysia kini menghuni tempat ketujuh dalam ranking dunia di hadapan Indonesia, India serta Hong Kong dan perlu menamatkan Kejohanan Berpasukan Asia di kedudukan empat terbaik bagi mendapatkan slot automatik Piala Thomas di Bangkok, Mei hadapan.
Seandainya gagal ke separuh akhir dan tiga pasukan di bawahnya berjaya ke saingan empat terbaik, maka Malaysia akan mencipta sejarah tersendiri apabila gagal ke kejohanan Piala Thomas buat kali pertama dalam sejarah penglibatannya.
Ketika ditanya sama ada Malaysia mampu meningkatkan prestasi pemain muda dalam tempoh singkat, bekas ketua jurulatih perseorangan kebangsaan itu berkata, hanya kekuatan fizikal pemain sahaja boleh ditingkatkan menerusi latihan intensif tetapi tidak dari segi kekuatan mental.
Katanya, kekuatan mental pemain memerlukan masa yang panjang untuk dibentuk kerana tekanan yang bakal dihadapi dalam kejohanan berpasukan adalah berbeza berbanding acara indvidu.
“Seperti contoh, semasa Sukan SEA ke-29, kita boleh tengok macam mana keadaan pemain kita semasa bertemu Indonesia dalam perlawanan akhir, mereka tidak mampu menyerap tekanan.
“Mungkin pemain itu sangat hebat dalam acara individu tetapi belum tentu dia memiliki kekuatan mental dalam acara berpasukan.
“Bukan hanya pemain muda, pemain pengalaman juga berdepan masalah sama seperti contoh Chen Long, dia menjadi punca utama kekalahan China sewaktu Piala Thomas 2014 dan 2016 kerana gagal menyerap tekanan sebagai perseorangan pertama,” katanya.
Sumber: Utusan Online