Malaysia Tak Pernah Khuatir Ancaman Luar Demi Pertahankan Baitulmuqqadis


PETALING JAYA - Demi mempertahankan Baitulmaqdis, Malaysia tidak pernah berasa khuatir jika mana-mana negara mahu melakukan tindakan diplomatik atau sebaliknya termasuk ‘mengambil nama’, tegas Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Menurutnya, pendirian Malaysia cukup jelas iaitu mempertahankan kesucian kota Baitulmaqdis.

“Ia bukan hanya semata-mata kerana kita orang Islam dan mempunyai pemimpin Islam, tetapi Baitulmaqdis adalah satu kawasan menyeluruh, bukan hanya al-Quds iaitu Masjidilaqsa.

“Dalam hal ini, kolaborasi antarabangsa yang terbaik bukan hanya negara Islam, tetapi juga dalam kalangan negara yang menganut Kristian malah Yahudi ortodoks sendiri tidak bersetuju terhadap pemindahan ibu negara Israel dari Tel Aviv ke Baitulmaqdis,” katanya pada satu sidang media di sini, semalam.

Beliau diminta mengulas laporan media mengenai Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump yang mengancam untuk menarik balik bantuan kewangan dari negara yang menyokong resolusi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) bagi menolak pengiktirafan AS dalam isu Baitulmaqdis sebagai ibu kota Israel.

Kenyataan Trump dibuat selepas Duta AS ke PBB Nikki Haley menerusi akaun Twitter beliau menyatakan bahawa ‘AS akan mengambil nama’ mereka yang mengkritik pilihan AS di Perhimpunan Agung PBB.

Ahmad Zahid berkata, tentunya sesi khas Perhimpunan Agung PBB adalah manifestasi Malaysia sebagaimana yang dinyatakan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak terhadap komitmen dilakukan ketika Sidang Kemuncak Luar Biasa di Istanbul, Turki baru-baru ini.

“Wakil Tetap Malaysia di PBB Datuk Seri Mohd Shahrul Ikram Yaakob akan menyatakan pendirian tegas Malaysia mengenai perkara ini. Dan Malaysia tentunya tidak akan berganjak daripada pendirian sebagaimana dinyatakan oleh Perdana Menteri,” katanya.

Ditanya mengenai dana AS ke pelbagai negara, beliau berkata, Malaysia tidak banyak menerima bantuan dari luar.

“Sebab kita bukan hanya negara penerima, tetapi kita juga adalah negara pemberi. Tetapi hubungan pertahanan, hubungan keselamatan dan perdagangan pada hemat saya harus diasingkan sepenuhnya daripada soal Baitulmaqdis,” katanya.

Berkenaan keperluan Malaysia untuk membuka pejabat kedutaan di Timur Baitulmaqdis sama ada ia boleh menggugat hubungan dengan AS, beliau berkata hubungan diplomatik, perdagangan dan lain-lain jaringan hubungan perlu dibezakan kerana ini persoalan yang sangat spesifik iaitu soal Baitulmaqdis.

“Dan kami juga memahami bahawa pihak AS cukup bijaksana dari segi mengasingkan isu Baitulmaqdis dengan isu lain,” katanya.

Sumber: MyMetro